Tip Mengurus Emosi | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tip Mengurus Emosi

Tip Mengurus Emosi

Oleh : Kemelia binti Omar K.B.;P.A.

Emosi merupakan satu ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada sudut psikologi (mental) seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung kepada sesuatu situasi. Sebagai contoh emosi suka, marah, sedih, takut dan bimbang.

Pengurusan emosi bukanlah bermaksud menafikan atau mengendahkan emosi tersebut. Akan tetapi, ianya perlulah diakui dan dikawal dengan sebaiknya.

Terdapat beberapa tip mudah mengurus emosi yang boleh diamalkan.

1. Bertenang

Anda perlu mempraktiskan teknik pernafasan yang betul sehingga rasa lebih lega dan tenang. Contohnya, tarik nafas dalam-dalam dan hembus secara perlahan dalam kiraan 8.

Teknik pernafasan yang betul mampu mengeluarkan emosi negatif yang baru sahaja dialami dengan cepat dan sangat membantu sekiranya anda mengalami situasi panik, cemas dan ketakutan. Selain itu, bernafas dengan teratur dapat meningkatkan tahap kesejahteraan emosi, minda dan tubuh badan.

2. Luah Perasaan

Perasaan tidak sepatutnya dipendamkan tetapi ianya perlulah dikongsikan dengan orang yang dipercayai seperti ahli keluarga dan kawan rapat. Apabila anda mampu meluahkan perasaan kepada orang yang dipercayai, peratusan tekanan yang dialami juga akan semakin berkurangan. Percayalah! Masih ada orang yang menyayangi dan mengambil berat tentang kita.

3. Keluar Bersiar-siar

Menikmati pemandangan alam semulajadi mampu bertindak sebagai terapi yang dapat membantu mengurangkan tekanan yang dialami oleh seseorang. Berada dalam persekitaran menghijau dan mendamaikan menjadikan jiwa seseorang itu lebih tenang. Terasa seolah-olah semua beban yang sarat dipikul hilang apabila dikelilingi alam semula jadi yang indah. Berbanding masa yang diluangkan dengan melihat telefon bimbit ataupun komputer sehari suntuk, apabila anda banyak keluar dan berjalan melihat pemandangan, otak akan menjadi lebih berkembang.

4. Berfikiran Positif

Anda perlulah peka kepada apa yang berlaku dalam fikiran, sama ada positif atau negatif. Cuba latih diri untuk mengatakan perkara yang positif kepada diri sendiri dan elakkan daripada mengatakan sesuatu yang negatif. Anda juga boleh memberi peluang kepada diri untuk berjenaka atau tertawa. Ini kerana, ketawa juga dapat memberikan ketenangan dan mengurangkan beban emosi seseorang.

5. Menulis Jurnal

Menulis jurnal harian sangat membantu untuk mengendalikan pemikiran, mengatur emosi dan mengajar cara mengungkapkan perasaan. Ini kerana, apabila anda berada dalam situasi tertekan, mencurah emosi dan perasaan secara bertulis boleh membuat perasaan lebih lega. Lazimnya, stres berlaku akibat kesukaran untuk memahami situasi semasa. Dengan menulis segala isi hati dan perasaan dalam jurnal harian, ianya dapat membantu memudahkan anda menguruskan tekanan yang dialami.

 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
WXFRNAt~