CINTA REMAJA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » CINTA REMAJA

CINTA REMAJA

Penulis : Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.


Fasa percintaan dalam kalangan remaja lebih dikenali sebagai 'cinta monyet' iaitu cinta yang hanya bersifat sementara dan tidak serius (Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Keempat). Cinta monyet sering dikaitkan sebagai cinta suka-suka, cinta pandang pertama bagi pasangan lelaki dan perempuan yang meningkat di usia remaja. Cinta monyet tidak menuntut komitmen seperti mana orang dewasa bercinta. Biar pun hanya berbalas surat cinta, bertukar-tukar hadiah dan saling memberi sokongan dalam pembelajaran, ianya sudah cukup membuatkan pasangan tersebut gembira dan bahagia dalam hubungan.

Ada sesetengah ibu bapa yang memandang serius terhadap pasangan remaja yang bercinta. Hal ini dapat dilihat apabila anak-anak disekat untuk berkawan dengan jantina berlainan dan menghalang anak-anak keluar bersosial. Tidak dinafikan, fenomena remaja bercinta yang tidak terkawal boleh membawa kepada gejala sosial remaja seperti lari rumah, buang anak, keruntuhan akhlak, dan lemah dalam pelajaran. Namun menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menitipkan pesanan dan kesedaran mengenai bahayanya perzinaan serta penjagaan aurat, batas-batas pergaulan dan limitasi dalam bersosial mengikut tuntutan agama.

Apabila dilihat dari aspek positif, hubungan cinta remaja ini boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan emosi dan mental remaja yang memerlukan sokongan dan dukungan rakan seusia. Menurut Perunding Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah dalam temubual bersama Harian Metro (2020), cinta monyet berlaku apabila dua individu bertukar perasaan cinta pada usia yang belum cukup matang. Katanya lagi, sama ada ibu bapa suka atau tidak, perkara ini tetap berlaku dalam hidup anak-anak kerana fitrah yang sudah ditentukan Allah kepada setiap manusia. Oleh itu, cinta yang hadir pada usia remaja ini perlu dilihat dari konteks yang luas dan positif. Sekiranya cinta monyet ini hanya dilihat dari sudut pandang negatif, maka ianya akan dilihat sebagai pengaruh negatif. Namun, apabila cinta ini dipandu ke arah yang positif, ianya dapat membantu membina keyakinan diri dalam diri mereka. Cinta yang terbina adalah fitrah manusia. Oleh itu sejauh mana seseorang mengatur percintaan yang dialami selari dengan adab, tuntutan agama dan menjaga batas-batas masyarakat pastinya akan membawa kepada pengalaman positif dalam perkembangan remaja itu sendiri. Malah pengalaman yang dilalui ini akan membentuk kendiri yang positif kepada remaja berkenaan.

Merujuk dalam penulisan psikologi bertajuk Teori Hierarki Keperluan Maslow (2023), terdapat 5 asas keperluan seorang manusia iaitu keperluan fisiologi (makan, tidur, bersenam), keperluan keselamatan (rasa selamat), keperluan sayang dan disayangi, keperluan penerimaan kendiri dan keperluan realisasi/aktualisasi diri. Dapat dilihat, selepas keperluan fisiologi dan keselamatan dipenuhi, tahap ketiga keperluan manusia ialah keperluan sosial yang melibatkan perasaan kekitaan dan kasih sayang. Keperluan kasih sayang dan kepunyaan merujuk kepada keperluan emosi manusia iaitu perhubungan interpersonal, perhubungan dan mempunyai rasa kekitaan dalam sesebuah kumpulan. Contoh keperluan kepunyaan termasuk persahabatan, keintiman, kepercayaan, penerimaan, menerima dan memberi kasih sayang dan cinta. Cinta adalah hubungan yang baik, oleh itu bercintalah dengan sihat demi pengalaman positif. Hubungan yang berteraskan rasa percaya boleh membentuk identiti positif dalam diri seseorang dan akan berkembang sehingga mereka meniti usia dewasa.

Secara umumnya, cinta dan remaja tidak dapat dipisahkan. Ianya adalah fitrah semulajadi manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT. Menjadi tanggungjawab manusia untuk menghargai rasa cinta yang dikurnia ke jalan yang benar dan diredhai. Sebagai remaja, timbalah ilmu untuk mengurus perasaan cinta yang hadir. Penerimaan perasaan cinta ini pasti akan membuahkan hasil yang positif apabila dicanai dengan ilmu pengetahuan dan batas-batas agama.

Sumber Rujukan :

  1. Intan Mas Ayu Shahimi (2020, 11 Januari). Cinta monyet mainan emosi. Harian Metro Online. Bahan diakses pada 11 Januari 2020, daripada https://www.hmetro.com.my/WM/2020/01/534023/cinta-monyet-mainan-emosi
  2. Saul M. (2023). Maslow’s hierarchy of needs theory. https://simplypsychology.org/maslow.html

Tarikh Input: 30/03/2024 | Kemaskini: 30/03/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFCLA2~