Berani Dan Terus Adaptasi | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Berani dan Terus Adaptasi

Berani dan Terus Adaptasi

Oleh : Pn. Kamariah Derasol

 

“Aduh... kenapalah orang di sini kurang mesra? Semua orang buat hal masing-masing”.

 

“Alangkah bagusnya kalau orang lain faham aku ni”

 

“Lecehlah. Kena ikut peraturan, kejar merit, tak boleh itu dan ini. Aku kan dah besar!”

 

Pernahkah hati anda berbisik sendiri dialog di atas? Atau anda mendengar omelan dari kawan lain berkaitan perkara serupa atau seakan-akan dengannya? Hakikatnya, apabila menjejakkan kaki ke alam kampus, bersedialah dengan sebarang jua kemungkinan dan ketidakselesaan. Ianya umpama memasuki episod baru dalam kehidupan yang tidak diketahui apakah yang bakal berlaku dan sedikit sebanyak akan mencetuskan kebimbangan. Apabila anda mempunyai sesuatu jangkaan dan jangkaan itu tidak dapat dipenuhi, ianya akan menyebabkan tekanan atau stres. Stres yang berlebihan pula akan menyebabkan hidup tidak keruan. Kalau begitu, apakah yang perlu dilakukan? Ubahlah sudut pandang berfikir.

 

Hidup penuh dengan perkara luar jangkaan, kerana kita bukan Tuhan. Dengan pemikiran itu, tidaklah sebarang perubahan menjadi bebanan mahupun tekanan. Walaupun apa jua peristiwa baru, kenalan baru perkara baru yang perlu dipelajari, hadapi dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Izinkan diri meneroka pengalaman baru agar kaya pengalaman dan ilmu. Anggaplah setiap pengalaman yang ditempuh dalam kampus adalah peluang untuk anda menyulam ilmu kehidupan yang tidak ternilai dengan wang sebagai ukuran. Dengannya anda akan semakin matang dan bijak mengatur perjalanan di masa hadapan.

 

Sesungguhnya, peneroka pengalaman adalah pengembara segala impian. Dalam mengejar impian, berhadapan dengan segala cabaran dan urusan, akar diri usah dilupakan. Pesan ayah bonda dan kaum keluarga yang menghantar dengan penuh harapan dan doa’ perlu disematkan dalam dada dan jiwa agar kejayaan dapat diukir jaya. Ke mana pun jua melangkah pergi, maruah diri dijaga rapi. Di mana bumi bernaung, di situ amanah dijunjung. Ilmu dan amal perlu seiring, agar hati tidak runsing.

 

Ada kalanya, apabila berjauhan dari keluarga, hati merasa sunyi sekali. Tambahan pula tiada siapa yang sesuai dan memahami diri. Ambillah masa untuk mengenali dan menyesuaikan diri. Jika sampai ketika perlu menyendiri, tidak perlu bersedih hati. Tidak mengapa menyendiri, asal tahu mengawal diri. Di Bahagian Kaunseling UPM, terdapat seramai 13 orang kaunselor yang anda boleh pilih mengikut naluri untuk berkongsi isi hati. Kami ada dan sedia menerima kehadiran anda, seadanya diri anda, untuk ketenangan dan kebahagiaan diri anda. Untuk mencari kebahagiaan diri, perlu kenal diri sendiri dan bina matlamat hidup sesuai dengan keupayaan diri.

 

Proses kaunseling boleh membantu anda mengenal pasti potensi diri dan menggilap permata dalam diri. Yang penting, hiduplah dengan mencipta jejak sendiri dan bukan mengekor bayang orang lain. Walaupun ada kalanya anda bertemu dengan orang yang sukar untuk anda bersetuju, pokoknya hanya satu.

 

Raikan persamaan, hormati perbezaan. Dengan ini lebih mudah untuk anda berdamai dengan orang lain dan berdamai dengan diri sendiri. Sekiranya anda telah berusaha untuk menjaga perasaan dan hak orang lain dan tidak dihargai, lepaskan perasaan yang menyempitkan hati. Beri dan berkongsi tanpa harapan, soal balasan serahkan pada Tuhan. Dengan itu, jiwa akan rasa bebas tanpa sebarang ikatan dan kekecewaan. Akhir kata, izinkan diri menerima ungkapan kata di bawah ini sebagai pendorong diri. Moga anda dapat menyesuaikan diri dan tidak terkesan dengan kejutan budaya di sekeliling anda. Kejutan budaya tidak terkesan pada jiwa jika diri siap siaga.

 

Dipetik dari buku 170 Kata-kata Mendorong Menjadi Pelajar Hebat. 

Jom ikuti apa tips yang diselitkan oleh Penulis.

Tarikh Input: 11/03/2021 | Kemaskini: 24/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXDdOA6~