Oleh : Puan Kemelia binti Omar K.B.;P.A.

Narsisistik merupakan sejenis gangguan keperibadian yang boleh memberi impak negatif kepada hubungan sosial dan persekitaran. Individu narsisistik seringkali mempunyai keperluan yang berlebihan untuk perhatian dan pengiktirafan, serta merasa unggul atau lebih baik daripada orang lain. Situasi ini sememangnya memberikan cabaran yang besar kepada orang di sekeliling, terutamanya jika mereka sering memperlihatkan tingkah laku yang memanipulasi, egois, atau kurang empati terhadap orang lain.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu anda menghadapi individu narsisistik :
- Menetapkan Had/ Batasan Tertentu
- Kebiasaan individu yang narsistik iaitu suka mengawal atau mengeksploitasi orang lain. Justeru itu, adalah penting untuk menetapkan had atau sempadan tertentu dengan jelas dan konsisten. Pastikan mereka tahu apa yang boleh diterima dan apa yang tidak, serta bertegas apabila mereka melanggar had tersebut. Keadaan ini dapat membantu memastikan bahawa mereka tidak boleh menguasai atau mengeksploitasi anda, dan memberi ruang untuk hubungan yang lebih seimbang dan sihat.
- Lebih Fokus Pada Diri Sendiri
- Apabila berhadapan dengan individu narsisistik, kita mungkin akan cenderung untuk terlalu memberi tumpuan kepada tingkah laku mereka yang mengganggu atau merugikan. Jika dibiarkan, ianya boleh merosakkan kesejahteraan mental kita. Oleh itu, adalah penting untuk kita lebih memfokus kepada kesejahteraan mental dan emosi kita sendiri. Luangkan masa untuk melakukan aktiviti yang lebih menyokong kesihatan mental, seperti bergaul dengan individu lain yang lebih positif dan menjaga diri dengan baik.
- Mengelakkan Konflik
- Individu narsistik cenderung cenderung menyalahkan orang lain dan tidak pernah mengakui kesilapan mereka. Mereka sering menafikan kesalahan mereka dan akan menyalahkan orang lain. Justeru itu, elakkan diri daripada berkonflik atau berdebat dengan mereka.
- Menjaga Jarak Emosi
- Jangan biarkan tingkah laku negatif individu narsistik menjejaskan emosi anda. Salah satu cara untuk mengurangkan impak negatif adalah dengan menjaga jarak emosional. Jangan terlalu bergantung kepada mereka untuk sokongan emosi, kerana mereka mungkin tidak mampu memberikan empati atau sokongan yang anda perlukan. Usahakan untuk tidak terperangkap dalam permainan mental mereka, dan fokus kepada kestabilan emosi diri sendiri.
- Tidak Mengambil Sikap Mereka Secara Peribadi
- Individu narsistik cenderung untuk kurang menghargai atau mengiktiraf usaha orang lain. Mereka mungkin tidak peduli tentang pencapaian orang lain dan hanya fokus pada keperluan atau kehendak mereka sendiri. Jika mereka tidak menghargai usaha anda atau mengabaikan perasaan anda, itu bukanlah disebabkan oleh kekurangan anda, tetapi lebih kepada sikap mereka yang egois. Dengan tidak mengambilnya secara peribadi, ianya dapat melindungi diri anda daripada perasaan terluka dan terus memberi fokus kepada perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan diri sendiri.
- Memberikan Pujian Secara Berhati-hati
- Individu narsistik sering merasa bahawa mereka lebih istimewa, lebih pintar, atau lebih berbakat daripada orang lain. Mereka mungkin mempunyai pandangan yang tidak realistik tentang kemampuan atau pencapaian mereka dan cenderung membesar-besarkan kehebatan diri. Oleh itu, mereka amat sangat sukakan pujian dan perhatian. Walau bagaimanapun, berikan pujian secara berhati-hati dan tidak berlebihan, kerana mereka mungkin mengharapkan pujian yang berterusan. Cubalah untuk bersikap realistik dan tidak terlalu melayan keperluan mereka yang tidak wajar.
- Mencari Sokongan Orang Lain
- Individu narsistik sering menggunakan orang lain untuk memenuhi keperluan atau kehendak mereka tanpa mempedulikan perasaan atau hak orang lain. Mereka mungkin sering memanipulatif dalam hubungan dan tanpa menghiraukan kesejahteraan orang lain. Oleh itu, cubalah mencari dan berbincang dengan orang lain yang boleh memahami keadaan anda.
- Mendapatkan Khidmat Kaunseling
- Sekiranya hubungan anda dengan individu narsistik ini memberi impak yang negatif kepada kesejahteraan mental atau emosi, sebaiknya anda boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan sokongan daripada kaunselor. Kaunselor merupakan individu profesional yang boleh membantu anda mencari kaedah terbaik untuk mengendalikan situasi dan menangani tekanan yang dialami.
Kesimpulannya, berhadapan dengan individu narsistik sememangnya memerlukan banyak kesabaran dan kekuatan. Kuncinya adalah untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri dan menetapkan had yang jelas untuk mengelakkan terjebak dalam situasi yang sukar.
Tarikh Input: 30/01/2026 | Kemaskini: 30/01/2026 | ayna
PERKONGSIAN MEDIA