
Oleh : Dr. Mazila binti Ghazali K.B.;P.A.
1. Berkawan dengan orang yang baik
SAHABAT adalah seorang yang setia kawan, boleh membantu apabila kita berada di dalam kesusahan. Sahabat juga mampu meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.
Sejak kebelakangan ini kita dapat saksikan ada dalam kalangan mereka yang sanggup untuk melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang sahabat yang sejati. Antaranya menipu, mengaibkan hal peribadi sahabat karibnya, menjatuhkan maruah dan pelbagai lagi sehingga ada yang sanggup pecah amanah terhadap sahabat sendiri.
Betapa pentingnya memilih sahabat yang baik sehinggakan baginda Rasulullah menyebut di dalam hadisnya: Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin lainnya, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin lainnya; ia membantunya saat kesulitan serta menjaganya (membelanya) dari belakang - [HR Abu Daud 4272]. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu.
2. Tidur tujuh hingga sembilan jam sehari
Kajian oleh Persatuan Jantung Amerika (AHA) mendapati tidur yang cukup berhubung aktiviti yang dianggap baik untuk kesihatan jantung. Tempoh tidur yang lama memberi manfaat kepada kesihatan kardiovaskular seseorang. Menurut pakar-pakar kardiologi menyatakan, tidur yang ideal adalah antara tujuh hingga lapan jam pada setiap malam. Dalam pada itu, kanak-kanak dinasihatkan untuk tidur lebih lama dengan individu bawah umur lima tahun disyorkan tidur antara 10 hingga 16 jam sehari termasuk pada waktu siang. Orang yang tidak cukup tidur lebih berisiko mendapat penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan obesiti, kata AHA.
3. Makan makanan seimbang
Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang hendak dimakan dengan tujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul. Kekurangan nutrien boleh menyebabkan berlakunya malpemakanan. Mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang sangat diperlukan untuk Kesihatan tubuh badan.
4. Elakkan berita negatif berlebihan
Sentiasa menapis apa yang perlu dibaca, dilihat dan dikongsi. Sebaiknya untuk menjaga kesihatan mental sendiri, lebih baik sentiasa peka dan cuba mengelak daripada menerima berita yang negatif. Tip ini sangat penting supaya fikiran dan minda kita tidak serabut. Berita palsu juga biasanya akan menyebabkan tersebarnya fitnah yang membawa keburukan kepada individu. Tapis segala berita dan berwaspada dalam menyebarkannya.
5. Kerap bersenam
Senaman merupakan satu aktiviti yang dirancang dan dilakukan berulang kali untuk mengekalkan kesihatan diri dan meningkatkan kecergasan badan. Walaupun perkataan ini selalu digunakan bersama-sama, senaman dan aktiviti fizikal sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza.
Secara dasarnya, senaman merupakan satu aktiviti yang akan membuatkan anda berpeluh, tercungap-cungap dan meningkatkan kadar degupan jantung. Malah, tujuan utama senaman juga untuk jadi lebih sihat dari segi fizikal. Terdapat beberapa jenis senaman iaitu senaman aerobik, senaman kekuatan, senaman regangan dan senaman keseimbangan.
6. Fikir baik tentang orang
Berbaik sangka mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja. Namun, perlu diingat sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi oleh orang berkepentingan. Suka diingatkan kita perlu meletakkan diri seperti orang lain. Jika kita mahu orang berbaik sangka dengan kita, kita perlu bersikap yang sama dengan orang dahulu.
7. Lakukan sesuatu yang bermakna setiap hari
Mencari makna dalam kehidupan adalah sangat penting. Ia membezakan kita dengan individu lain apabila kita tahu makna hidup kita. Itu akan membuat kita lebih bersemangat setiap hari dan perasaan tidak sabar ingin menjalani hari. Tetapi apakah kita sudah menjadikan hidup kita lebih bermakna? Tentu semua orang ingin punya kehidupan yang bermakna, bermanfaat bagi setiap orang dan boleh melakukan hal terbaik selama kita hidup di dunia. Berikut adalah cara untuk menjadikan hidup lebih bermakna. Antaranya ketahui apa yang penting bagi diri sendiri, kejar apa yang diminati, temui tujuan hidup dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk hidup.
Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia