Teknik Memukau Bakal Majikan: Kunci Kejayaan Dalam Temuduga Pekerjaan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Teknik Memukau Bakal Majikan: Kunci Kejayaan dalam Temuduga Pekerjaan

Teknik Memukau Bakal Majikan: Kunci Kejayaan dalam Temuduga Pekerjaan

Oleh : Puan Noorihayatti binti Noorudin K.B.;P.A.

Bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bakat dan kebolehan bukanlah perkara mudah. Namun, dengan menggunakan beberapa teknik yang tepat, kita boleh meningkatkan peluang kita untuk memukau bakal majikan semasa sesi temuduga. Berikut adalah beberapa strategi penting yang boleh membantu anda menonjol dalam proses temuduga.


Buat Persiapan Diri yang Baik
Persiapan adalah kunci utama untuk berjaya dalam temuduga. Sebelum sesi temuduga, pastikan anda telah membuat kajian tentang syarikat dan jawatan yang ingin dimohon. Kenalpasti visi, misi, dan nilai-nilai syarikat tersebut serta keperluan kerja bagi jawatan yang dipohon. Selain itu, anda perlu mempersiapkan diri dengan melatih menjawab soalan-soalan temuduga yang mungkin atau sering diajukan di dalam temuduga serta pertimbangkan pertanyaan yang mungkin anda akan ajukan kepada bakal majikan.


Berikan Penekanan kepada Prestasi
Apabila tiba masanya untuk anda berkongsi mengenai pengalaman kerja, berikan penekanan kepada pencapaian dan kejayaan yang anda perolehi dalam kerjaya tersebut. Apa yang penting ialah anda perlu menunjukkan bagaimana anda telah memberi impak yang positif kepada organisasi atau projek yang ceburi. Jangan lupa untuk menceritakan kisah-kisah kejayaan dengan jelas serta terperinci dan berikan juga bukti nyata tentang kemahiran dan kebolehan anda.


Tunjukkan Kemampuan Komunikasi dan Kolaborasi
Kemahiran komunikasi dan kolaborasi adalah aspek penting dalam kebanyakan perjawatan. Semasa sesi temuduga, pamerkan kemahiran anda dalam berkomunikasi dengan jelas, efektif dan berdaya saing. Berikan contoh bagaimana anda bekerjasama dalam pasukan, menyelesaikan konflik dan mencapai matlamat bersama. Ini akan memberi kesan kepada majikan tentang potensi anda untuk menyumbang secara positif kepada pasukan kerja.

Fleksibiliti dan Keterbukaan
Ketika berinteraksi dengan bakal majikan, tunjukkan fleksibiliti dan keterbukaan anda terhadap pelbagai situasi dan perubahan. Berikan contoh bagaimana anda telah menyesuaikan diri dengan perubahan dalam organisasi atau projek, serta bagaimana kita meraih pelajaran bermakna daripada pengalaman tersebut. Majikan akan menghargai individu yang mampu beradaptasi dengan cepat dan terbuka terhadap idea-idea baru.


Pamerkan Minat pada Organisasi
Tunjukkan minat dan pengetahuan anda tentang organisasi tersebut. Bincangkan projek atau inisiatif organisasi yang menarik bagi anda dan bagaimana anda dapat melibatkan diri pada perkara tersebut.

Dengan menggunakan teknik-teknik ini, anda akan meningkatkan peluang untuk memukau bakal majikan semasa sesi temuduga. Dengan pendekatan yang mantap dan keyakinan diri yang tepat, akan dapat menarik perhatian majikan dan meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpikan.

Tarikh Input: 30/10/2024 | Kemaskini: 30/10/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (09:40:05pm-09:45:05pm, 27 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]