Berbaiklah Dengan Rakan | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Berbaiklah dengan Rakan

Berbaiklah dengan Rakan

Oleh : En. Mohd Redzuan Zamberi

 

Anda pernah mengalami situasi konflik bersama rakan? Sama ada konflik dengan rakan baik, rakan sebilik, rakan sekolah, rakan satu universiti ataupun rakan sekerja. Saya juga sebagai manusia biasa, tidak terlepas menghadapi situasi ini malah banyak kali berlaku dalam kehidupan selama hampir 39 tahun hidup di muka bumi ini.

Konflik adalah perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan lain-lain menurut Kamus Dewan, Edisi Keempat. Perselisihan ini mungkin berlaku secara komunikasi yang dilihat secara fizikal atau pertentangan dari sudut emosi, mental atau psikologi. Kebiasaan konflik yang banyak meninggalkan kesan mendalam hingga tidak dapat dilupakan atau dimaafkan adalah konflik dari sudut emosi dan mental.

Konflik secara fizikal dan emosi ini pernah berlaku ketika saya baru berusia 7 tahun. Ketika itu, saya adalah seorang anak tentera yang dibesarkan di sebuah kem tentera Batu Arang, Rawang, Selangor. Pada ketika itu kehidupan sebagai anak tentera adalah di sekitar kem tentera. Rumah pangsa setinggi 5 tingkat dan mempunyai kejiranan dari pelbagai blok mengikut gred jawatan seseorang tentera. Kami anak tentera secara rutinnya bersekolah dengan menaiki trak askar yang menunggu di satu lokasi mengikut masa yang ditetapkan. Pada ketika itu saya tidak dihantar oleh ibu ke lokasi trak askar untuk ke sekolah. Ibu hanya memerhati dari jauh dari blok rumah hingga hilang bayang-bayang dari kejauhan. Hati seorang anak yang berusia 7 tahun sungguh sayu kerana terpaksa berdikari untuk berjalan keseorangan pergi ke sekolah setiap hari. Namun saya mula memahami erti berdikari yang dilatih oleh seorang ibu dan ayah pada ketika itu.

Namun semua kesayuan hati itu saya pendam. Tetapi suatu perkara yang tidak dapat saya pendam iaitu satu perkara yang terjadi pada ketika usia itu. Setiap hari saya dibuli dan dirompak oleh sekumpulan anak-anak tentera yang nakal terhadap saya pada ketika itu. Semasa saya menunggu trak askar sampai setiap tengahari, sekumpulan budak nakal yang diketuai oleh Amirudin bersama 4 orang lagi akan menyekat saya di lorong jalan berdekatan lokasi menunggu trak. Mereka akan meminta duit dan membuli saya dengan menarik baju, seluar dan rambut. Saya juga pernah dipukul oleh mereka secara kasar. Konflik fizikal ini menjadi konflik emosi dan mental kepada saya kerana berlaku setiap hari bukan sahaja di lokasi menunggu trak sekolah, tetapi juga di sekolah rendah.

Mereka akan mengejar saya di padang ketika waktu rehat sehingga saya menangis teresak-esak sekiranya saya tidak memberikan mereka duit bekalan yang diberi ibu saya setiap hari. Pada ketika itu saya sangat takut, dan boleh dikatakan sebagai “budak lembik” yang tidak berani melawan. Saya akur memberikan semua wang saku. Pada ketika itu saya tidak dapat makan di kantin kerana tiada duit. Saya hanya minum air paip untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga. Saya juga tidak memberitahu ibu juga bapa saya kerana takut dimarahi. Bayangkan saya menjadi trauma untuk pergi ke sekolah hinggalah pada suatu hari seorang guru bernama “Cikgu Hawa” terlihat saya dibuli oleh sekumpulan ini. Cikgu Hawa memanggil saya untuk menceritakan apa yang berlaku. Cikgu Hawa terus memanggil mereka dan mendenda mereka. Cikgu juga menulis surat kepada ibu saya dengan menceritakan segalanya. Besar jasa cikgu ini hingga rakan-rakan yang membuli saya perlu membayar semula setiap wang saku yang dicuri termasuk alat tulis saya. Begitu terperinci cikgu ini mengira berapa jumlah perlu dibayar kepada saya semula. Cikgu juga menulis surat kepada ibu bapa mereka atas perbuatan mereka selama ini. Hasilnya, saya tidak dibuli lagi.

Saya rasa terbela oleh cikgu Hawa dan sejak itu saya mula rasa berani dan mula bergaul dengan rakan-rakan lain. Sebelum ini, saya adalah seorang pendiam dan pasif pada ketika itu. Saya hanya suka melukis pemandangan dan kartun, dan tidak suka bersosial kerana merasakan rakan-rakan agar kasar bila bergurau dan saya lebih senang duduk di kelas pada waktu rehat dengan melukis. Sejak cikgu Hawa menasihati saya supaya lebih berani selain nasihat ibu agar jangan berdiam diri dan menjadi mangsa buli. Kata ibu yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini.

 “abang.. abang anak sulong.. abang ada adik-adik lagi.. abang juga anak mak.. ayah seorang askar yang berani.. abang kena berani untuk jaga adik-adik nanti. Jika orang lain buat kita.. kita jangan balas balik… tapi jangan jadi mangsa buli.. perlu pertahankan hak bila perlu..”

Tahun demi tahun berlalu saya mula belajar cara berkawan melalui pengalaman bergaul di sekolah asrama hinggalah di Universiti Malaya. Dari seorang yang pendiam, anti sosial, sangat ‘intovert’, saya bertukar menjadi seorang yang berani, disegani dan popular. Saya bukan dibuli lagi malah mempunyai ramai ‘geng’ ketika di sekolah menengah hinggalah ke peringkat universiti.

Ketika bekerja sebagai Kaunselor di Universiti Putra Malaysia, saya menerima banyak tanggungjawab sebagai pemimpin hingga menjadi Ketua Bahagian di Bahagian Kaunseling UPM. Syukur pada Ilahi atas tunjuk ajar ibu bapa, sahabat baik dan pastinya seorang guru yang tak dapat saya lupakan iaitu Cikgu Hawa, Guru Bahasa Malaysia dan Guru Kelas saya di Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Selangor pada tahun 1986.

Pengalaman konflik dengan rakan ini mengajar saya erti sebuah keberanian dan juga bakat kepimpinan serta menjadi seorang kawan yang disenangi. Kata-kata nasihat seorang ibu yang saya pegang hari ini ialah :

“Biarlah orang berbuat tidak baik kepada kita, teruskan berbuat baik kepada mereka”

Seorang ibu yang hanya belajar hingga darjah lima kerana kemiskinan hidup, bukan seorang terpelajar atau mempunyai pendidikan tinggi, tetapi banyak mengajar saya prinsip hidup hingga saya menjadi sekarang. Beliau guru terbaik saya selain arwah ayah yang banyak mengajar saya erti kesusahan hidup dan banyak menerima keperitan hidup mencari rezeki hingga beliau meninggal dunia.

Saya suka untuk berkongsi sebuah buku yang menjadi panduan hidup kepada saya selama ini. Buku ini juga banyak mengubah persepsi hidup saya dalam berkawan. Buku ini mengajar saya mengawal konflik, menundukkan konflik dan seterusnya menjadikan kita “menang-menang”. Buku tersebut adalah berjudul “How to Win Friends and Influence People”, karangan Dale Carnegie.

Saya bukanlah seorang yang layak memberi contoh teladan kepada pembaca namun ini kisah hidup saya. Saya yakin pembaca dapat memahami isi hati saya dari penceritaan ini. Terlalu banyak kisah hidup, jatuh bangun saya yang berkaitan konflik ini. Namun cukuplah sekadar sekelumit kisah zaman kanak-kanak saya ini. Saya maafkan semuanya. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini.

Terima kasih Ya Allah. Terima kasih Ibuku Salamiah dan Ayahku Zamberi. Terima kasih semua..

terima kasih Cikgu Hawa. Terima kasih rakan-rakan yang pernah hadir dalam hidup ini.

 

Artikel ini dipetik dari Buku 170 Kata-kata Mendorong Menjadi Pelajar Hebat.

Jom tengok apa pesanan En. Redzuan di bawah:

 

Tarikh Input: 04/02/2021 | Kemaskini: 24/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXDcXAR~