5 TIP MENGADAPTASI PERUBAHAN DALAM KEHIDUPAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » 5 TIP MENGADAPTASI PERUBAHAN DALAM KEHIDUPAN

5 TIP MENGADAPTASI PERUBAHAN DALAM KEHIDUPAN

Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.

Perubahan adalah sebahagian daripada kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Namun, bagi sesetengah individu, terutamanya remaja, mengadaptasi perubahan boleh menjadi satu cabaran besar. Perubahan seperti berpindah sekolah, memasuki alam universiti, atau berdepan dengan cabaran baharu dalam kehidupan sering menimbulkan tekanan dan kebimbangan. Oleh itu, penting bagi remaja untuk mempelajari cara menyesuaikan diri dengan perubahan bagi memastikan kesejahteraan emosi dan sosial mereka.

 
Remaja yang berdepan dengan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan perubahan seringkali dilanda perasaan takut gagal, rendah diri, dan kebimbangan terhadap penerimaan sosial. Tekanan daripada rakan sebaya dan harapan keluarga juga mempengaruhi keupayaan mereka dalam mengadaptasi dan memberi kesan kepada tahap keyakinan diri mereka.

Bagi memastikan perubahan dapat diadaptasi dengan baik, beberapa langkah boleh diambil, antaranya:

  1. Minda Positif – Melihat perubahan sebagai peluang untuk belajar dan berkembang.
  2. Bersikap Fleksibel – Menerima bahawa perubahan adalah sebahagian daripada kehidupan dan bersedia untuk menyesuaikan diri.
  3. Sokongan Sosial – Berkongsi perasaan dengan keluarga, rakan, atau kaunselor bagi mendapatkan sokongan emosi.
  4. Tetapkan Matlamat – Fokus kepada matlamat jangka panjang untuk memberi motivasi kepada diri sendiri.
  5. Belajar Kemahiran Baharu – Pelajari Kemahiran Membuat Keputusan dalam membantu diri untuk lebih bersedia menghadapi cabaran baharu.

Apabila seseorang berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan, ia memberi kesan positif terhadap perkembangan diri. Remaja yang mampu mengadaptasi perubahan cenderung untuk lebih yakin, matang, dan lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan. Selain itu, mereka juga dapat membina hubungan sosial yang lebih baik serta mencapai potensi diri yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh diadaptasi dengan sikap yang positif dan strategi yang betul. Dengan menyesuaikan diri dengan perubahan, individu dapat meningkatkan kualiti hidup dan mencapai kejayaan yang lebih besar.

Tarikh Input: 30/10/2025 | Kemaskini: 30/10/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
S, (04:09:46am-04:14:46am, 06 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]