11 PEKERJAAN MENDAPAT TEMPAT DI HATI BAKAL GRADUAN BACELOR SAINS PERHUTANAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » 11 PEKERJAAN MENDAPAT TEMPAT DI HATI BAKAL GRADUAN BACELOR SAINS PERHUTANAN

11 PEKERJAAN MENDAPAT TEMPAT DI HATI BAKAL GRADUAN BACELOR SAINS PERHUTANAN

Penulis : Syarifah Sheril Azlin Binti Syed Baharin K.B,P.A

Seorang pelajar tahun kedua dari Bacelor Sains Perhutanan datang berjumpa untuk sesi bimbingan kerjaya bersama kaunselor di Bahagian Kaunseling UPM. Berkerut-kerut dahinya kerana beliau keliru dan buntu dengan maklumat kerjaya bidang perhutanan yang terhad. Katanya ahli keluarga juga tertanya-tanya tentang masa depan kerjaya bagi pengajian yang sedang beliau pelajari. Ini menambahkan lagi keresahan hati beliau.
Melalui sesi bimbingan kerjaya yang telah dijalankan, kaunselor telah memberikan maklumat berkaitan 11 jawatan kerjaya bagi graduan Bacelor Sains Perhutanan. Mari kita lihat apa jawatan dan maklumat tanggungjawab yang sesuai buat bacelor tersebut.

1. Pengurus Hutan
Pengurus hutan ini bertanggungjawab menyelaras semua aktiviti yang berkaitan dengan hutan seperti pendidikan, pembangunan, penguatkuasaan, ekopelancongan, penyelenggaraan dan sebagainya.
2. Pemelihara Hutan
Bertanggungjawab merancang, mengurus dan mengawal aktiviti-aktiviti perhutanan supaya sejajar dengan peraturan-peraturan dan dasar-dasar Kerajaan.
3. Pegawai Hidupan Liar
Bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 76/72 serta membuat kawalan, penyelidikan dan penyusunan hidupan liar.
4. Penguasa Taman Negeri/Negara
Penguasa taman negeri/ negara bertanggung jawab mengawasi dan menjaga kawasan berhutan dalam taman negeri/ negara.
5. Pegawai Operasi Hutan
Pegawai ini bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang dan diberi kuasa berdasarkan peruntukan di dalam Akta Perhutanan Negara seperti menahan, menangkap dan menyita. Penguasa juga memantau kerja-kerja pembangunan hutan, pengurusan hutan, operasi hutan, penyelidikan hutan, industri perkayuan, ladang hutan dan pewartaan kawasan.
6. Pegawai Hutan Bandar
Pegawai ini menjalankan fungsi sebagai memantau, mengawal selia dan menguruskan aktiviti hutan bandar. Kesegaran dan kecantikan landskap dan tanaman hutan bandar adalah menjadi tanggungjawab bagi pegawai ini.
7. Pengurus Hutan Ladang
Pengurus ini bertanggungjawab menyelaras semua aktiviti yang berkaitan dengan hutan ladang seperti pendidikan, pembangunan, penguatkuasaan, ekopelancongan, penyelenggaraan dan sebagainya.
8. Pegawai Arborikultur
Mengawal selia dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan landskap. Selain itu, memantau penyelenggaraan cantasan terutamanya pokok-pokok utama dan landskap yang mendatangkan bahaya kepada keselamatan harta benda dan nyawa orang ramai. Tugas pegawai ini juga terlibat dalam penyediaan pengurusan rekod inventori pokok dan menyediakan khidmat pengurusan data dan inventori pokok.
9. Penyelidik Perhutanan
Tugas penyelidik adalah melakukan penyelidikan yang berkaitan pembangunan, penjagaan, dan pemuliharaan hutan dan isi hutan.
10. Pegawai Industri Kayu
Pegawai ini menjalankan tanggungjawab dalam membangunkan industri kayu dan juga memantau penyelenggaraan aktiviti pembalakan. Tugas pegawai ini memberi fokus kepada penguasa hasil hutan. 
11. Aktivis Alam Semulajadi/Hidupan Liar
Aktivis adalah individu yang bergiat secara aktif dan agresif dalam memelihara hutan dan isi hutan.
Sesi bimbingan kerjaya bersama pelajar bacelor ini telah berakhir dengan senyuman puas dan teruja pelajar tadi. Pelajar ini sangat terkejut dengan maklumat jawatan kerjaya dan bersedia untuk membuat persiapan untuk beri fokus kepada pilihan yang ada. Semoga maklumat kerjaya ini memberikan manfaat buat pada pelajar Bacelor Perhutanan yang lain juga. Semoga berjaya!

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEbVAb~