3 Tip Bercinta Semasa Belajar Di Universiti | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » 3 Tip Bercinta Semasa Belajar Di Universiti

3 Tip Bercinta Semasa Belajar Di Universiti

Oleh : Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.

Alam universiti memang menyeronokkan. Pelbagai pengalaman suka duka dillalui semasa di sini. Di universiti anda akan bertemu pelbagai rakan dari pelbagai daerah atau negeri dan juga rakan luar negara. Tempoh yang lama bersama di universiti sudah pasti akan menjadikan anda sangat akrab sesama rakan universiti. Malah, di universiti juga ada yang mula mengenali hati budi masing-masing, berpaut hati, lalu jatuh cinta. Bercinta boleh, tapi perlu ikut syarat-syaratnya ya. Jom kita ikut 3 Tip Bercinta Semasa Belajar Di Universiti agar boleh dijadikan panduan anda.

#Tip Pertama: Jaga hubungan semasa bercinta
Batas pergaulan merupakan perkara utama. Ketahui batas pergaulan dalam agama. Jaga adab dan sentiasa beringat walaupun anda sedang dilamun cinta! Usah terlalu kerap berjumpa. Ianya mengundang fitnah, rasa kurang selesa rakan-rakan, bahkan anda juga mungkin akan membazirkan masa. Tambah ilmu agama sebagai benteng daripada melakukan perkara yang ditegah dan sebagai asas menjadikan anda seorang pelajar yang mempunyai mempunyai sahsiah yang baik, berakhlak dan sentiasa menjaga batas dalam percintaan.

#Tip Kedua: Jangan terlalu asyik sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar
Sentiasa beringat tugas sebenar anda sebagai pelajar. Wujudkan hubungan sihat sebagai pembakar semangat belajar atau sumber kekuatan mencapai impian. Boleh juga bersaing untuk tingkatkan pencapaian akademik. Atau sebagai tempat bertanya berkaitan akademik, atau topik-topik sukar yang anda tidak faham sekiranya sesuai. Bahagikan masa belajar dengan jelas dan tepat. Dahulukan belajar. Jangan sesekali terlupa peranan anda di Universiti adalah sebagai pelajar.

#Tip Ketiga: Bersedia sekiranya cinta tidak kesampaian
Harus ingat bahawa emosi, motivasi, kekuatan diri akan terjejas sekiranya anda putus cinta. Bersedia dari segenap segi jika berlaku perpisahan supaya peristiwa sedih tidak merosakkan diri. Tak semua cinta Universiti berakhir di jinjang pelamin. Ada banyak lagi cabaran dan onak duri perlu ditempuhi. Jangan meletakkan 100% keyakinan terhadap pasangan. Simpan sedikit sebagai persediaan!

Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (12:53:24am-12:58:24am, 02 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]