4 TIP MEMIKAT HATI SI DIA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » 4 TIP MEMIKAT HATI SI DIA

4 TIP MEMIKAT HATI SI DIA

Oleh : Mohd Redzuan bin Zamberi K.B.;P.A.


CARA 1 : Menunjukkan Minat Sepenuhnya Pada Pasangan

Cara pertama ini, jika anda gunakan boleh menawan hati pasangan. Apakah maksud menunjukkan minat sepenuhnya kepada pasangan? Maknanya anda perlu FOKUS pada pasangan anda semasa perbualan. Fokus ini memerlukan tumpuan eye contact dan kemahiran mendengar sepenuhnya.

Tumpukan seluruh perhatian kepada pasangan anda. Fikiran anda harus sifar dan menerima apa sahaja topik yang dibicarakan. Mata tertumpu terus kepada apa yang dibicarakan. Jadi tutup telefon bimbit anda untuk sekian waktu. Simpanlah telefon bimbit anda di dalam poket. Ia mengurangkan mata tertumpu kepada mesej yang menyinggah di dada telefon itu.

Apabila mata anda kerap mencuri pandangan pada telefon bimbit itu, ia akan membuatkan si dia akan merasakan dirinya tidak penting? Topiknya tidak menarik? Atau anda tidak berminat untuk berbicara dengannya. Apabila kita fokus dan berminat dengan apa yang dibicarakan oleh pasangan, pastinya si dia merasa puas berbicara dengan anda. Mereka rasa dihormati dan terbit rasa seronok berbicara dengan anda.

Selain itu, jangan menguasai perbualan. Berikan kemenangan topik kepada pasangan anda. Fokus kepada apa yang si dia bicarakan. Bukan apa yang kita nak bicarakan. Ini tip penting dalam menguasai cara pertama ini. Sekiranya buntu, kerana pasangan anda seorang yang pasif. Anda perlu banyak bertanya untuk meneroka minat si dia. Pastikan soalan itu tidak sensitif dan tidak bertalu-talu seperti disoal siasat. Bertanyalah soalan berkenaan minat dan hobinya. Apa aktivitinya masa lapang. Dari situ anda akan lihat kecenderungan minat seseorang berdasarkan reaksi dan keseronokan dirinya bercerita.

Praktiskan satu perkara ini dahulu. Kerana ramai yang GAGAL pada cara pertama ini. Jika anda gagal tahap pertama ini, bagaimana anda ingin teruskan langkah yang seterusnya..???


CARA 2 : Senyumlah

Teknik ini sangat berkuasa untuk buat pasangan terpukau dengan anda. Nampak cara ini senang bukan? Tetapi ramai yang gagal untuk membuat pasangan terpikat dengan anda. Mengapa?
Kerana senyuman ini adalah satu kemahiran. Senyuman menurut ilmu bahasa badan iaitu Body Language Course, senyuman yang benar atau palsu boleh dilihat pada garisan halus di sisi mata seseorang ketika ia senyum. Senyuman sebenar adalah senyuman yang terukir dengan ada garisan halus di sisi matanya. Manakala senyuman palsu tiada garisan halus yang terlihat.
Senyuman adalah aura penarik bagi pasangan mendekati kita. Ia umpama signal untuk membuka seluasnya sebuah keintiman.

Jika anda bermuram durja. Ia akan menampakkan aura penolak yang terlihat di wajah. pasangan anda pasti tidak berasa selesa. Ini terjadi kerana wajah anda tidak menampakkan anda bersedia untuk berbicara dengan tenang dan lapang.
Skop senyuman ini sangat luas. Sebuah senyuman bukan sekadar untuk anda disukai oleh pasangan, tetapi bukti cinta anda padanya.
Bayangkan tiada lagi senyuman yang terukir di wajah satu sama lain, maka hambarlah sebuah perkahwinan. Kehangatan cinta tidak lagi dirasai kerana masing-masing serius dan hanya berbicara topik tanggungjawab dan rutin harian.

CARA 3 : Mengingati Tarikh Istimewa Si Dia

Teknik ini antara teknik luar biasa buat pasangan terpukau dengan anda. Bilakah kali pertama anda bertemu pasangan? Ingat tak tarikh peristiwa tersebut? Baju apa dan warna apa? Di mana peristiwa itu? Bila pula anda pertama kali luahkan kata cinta atau melamar si dia? Paling penting, bilakah tarikh perkahwinan anda?
Secara tak langsung inilah ulang tahun “Anniversary” anda setiap tahun. Adakah anda menyambutnya atau hanya mengungkap dengan kata-kata seperti tarikh hari jadinya setiap tahun? Tarikh istimewa ini sangat penting bagi seorang isteri berbanding si suami. Tetapi tak dinafikan ada juga suami yang menitik berat tarikh ini dan menyambutnya dengan pelbagai persediaan untuk berikan kejutan istimewa kepada permaisuri hatinya.

Sebagai suami anda kena ambil tahu tarikh-tarikh penting ini. Sikap lupa atau tidak mengambil berat anda buatkan si dia merajuk panjang dan merasakan dirinya tidak begitu istimewa lagi. Tetapkan penggera di telefon bimbit atau di media sosial anda.

Cara 4 : Jadilah Pendengar Yang Baik!

Menjadi pendengar yang baik bukan sekadar menadah telinga untuk mendengar tetapi elemen mata dan anggota badan yang lain turut berperanan semasa proses mendengar. Semasa pasangan anda berbicara, kosongkan fikiran dan mendengar penuh minat seolah-olah kita tidak tahu perkara itu.

Biarpun anda tahu ataupun arif dalam topik perbicaraan itu, kosongkan fikiran dan tumpukan 100% minat anda untuk mendengar. Pendengar yang baik adalah individu yang 90% mendengar dan 10% respon secara bukan lisan (Non verbal). Non verbal ini termasuk eye contact yang tepat ke arah pembicara.

Pernah tak anda merasakan semasa anda bercakap, pasangan tidak tumpukan perhatian? Apa perasaan anda ketika itu? Mengapa terjadinya perkara ini? Adakah disebabkan pasangan anda tiada ilmu ini? Mungkin anda juga selalu mengabaikan si dia, akhirnya pasangan pun membalasnya kembali.
Jika anda ingin disenangi, korbankan kesibukan anda seketika untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada pasangan anda. Letak dahulu telefon bimbit atau hentikan sementara tontonan anda di kaca TV.
Group whatsapp, telegram, facebook, Tik Tok, Instagram atau ribuan peminat anda tidak akan membahagiakan anda seperti pasangan anda bahagiakan anda. Mereka boleh datang dan pergi, tetapi pasangan anda akan setia menanti dan menjaga anda ketika sakit, susah dan senang. 

Tarikh Input: 30/03/2024 | Kemaskini: 30/03/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXFCCAF~