5 CIRI KETUA YANG EFEKTIF | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » 5 CIRI KETUA YANG EFEKTIF

5 CIRI KETUA YANG EFEKTIF

Oleh : Dr. Mazila binti Ghazali K.B,P.A

Setiap ketua mempunyai cara tersendiri  dalam memimpin sebuah pasukan atau organisasi. Setiap ketua memiliki karakter berbeza yang mempengaruhi gayanya dalam mengembangkan kemampuannya memimpin orang lain. Meskipun demikian, hampir semua orang meyakini bahawa ketua yang efektif menggunakan prinsip yang sama dalam memberi arahan, inspirasi, dan panduan.

Perkara positif yang ditimbulkan oleh seorang ketua yang baik bukan hanya pada pasukan yang dipimpinnya sahaja akan tetapi terhadap organisasi secara keseluruhan. Pasukan yang bekerja di bawah arahan pemimpin hebat cenderung merasa lebih bahagia, lebih produktif, dan mempunyai rasa memiliki pada tempat bekerja.

 

1. Ketua mampu melihat terlebih dahulu sebelum orang lain melihat

Ketua adalah seperti orang yang berdiri di puncak gunung. Dia mampu melihat keadaan sekeliling dengan lebih komprehensif jika dibandingkan dengan pengikutnya yang ada di bawah gunung. Ketua bukan hanya melihat keadaan pada masa kini tapi juga pola pada masa hadapan. Inilah yang dimaksud dengan pemimpin yang mempunyai visi dan misi. Ia mampu membaca pergerakan dari masa lalu dan masa kini untuk membuat andaian apa yang akan berlaku pada masa akan datang. 

 

2. Ketua menjadi role-model bagi orang lain

Cara terbaik untuk mencipta kredibiliti tinggi adalah dengan memberi contoh baik dalam berperilaku. Jika anda menuntut banyak hal daripada pasukan maka sebagai ketua anda perlu bersedia menetapkan standard yang tinggi untuk diri sendiri. Tetapkan perkataan dan perbuatan dalam satu garis lurus untuk membangun kepercayaan dan membuat pasukan secara sukarela mengikuti contoh yang anda tunjukkan. Seorang ketua perlu memimpin melalui teladan. Menunjukkan contoh disiplin diri yang baik mampu mengheret pasukan untuk turut sama berdisiplin. 

Namun jika seorang ketua tidak berdisiplin, pengikut juga pasti akan lebih tidak berdisiplin dan akan mengambil kesempatan. Seorang ketua juga perlu  memberikan kebebasan kepada pasukan untuk berfikir dengan daya tindak sendiri untuk menyelesaikan pekerjaan sesuai dengan cara mereka. Memberi kepercayaan dengan harapan tinggi dan semangat agar pasukan  lebih kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan pelbagai tugas. Kepercayaan dari pasukan akan diperoleh sekiranya ketua bijak dalam membuat pengagihan tugas dan secara tidak langsung menunjukkan contoh kredibiliti sebagai ketua.

 

3. Ketua menunjukkan integriti

Seorang ketua yang berintegriti memiliki nilai-nilai baik dalam membuat keputusan, berperilaku, dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka boleh menetapkan garis tegas antara benar dan salah dan mendapatkan penghargaan dari orang lain atas ketulusan, prinsip, etika dan sikap konsisten yang dimilikinya. Menunjukkan integriti melalui perilaku seharian akan membuat anda di posisi ketua yang mendapat kesetiaan, kepercayaan, dan penghargaan dari anggota pasukan.

 

4. Ketua berkomunikasi secara efektif

Kemampuan berkomunikasi secara efektif, ringkas, dan bijaksana merupakan kebolehan luar biasa daripada seorang pemimpin. Komunikasi melibatkan banyak perkara, bukan hanya tentang mendengar apa yang disampaikan oleh orang lain dengan penuh perhatian dan memberi respon dengan baik, tetapi juga berkongsi informasi yang berkualiti, bertanya soalan yang bernas, terbuka atas idea dan perkara baru, menjernihkan salah faham antara pasukan, dan juga berkomunikasi untuk menginspirasi dan memberi semangat kepada pasukan.

Ketua hebat mahu meluangkan waktu membentuk kekuatan, keperluan dan keutamaan kepada pasukan sehingga mereka boleh bergerak maju dengan mempunyai inspirasi dan motivasi diri yang tinggi. Cara seperti ini akan membantu anda menemukan cara terbaik untuk memotivasi pasukan dan rasa dihargai.  

 

5. Ketua bersikap terbuka atas idea baru

Setiap perubahan yang berlaku tidak dapat dihindari dan perlu mengikut rentak yang terkini. Perkara ini perlu difahami oleh seorang ketua. Adalah menjadi keperluan bagi seorang ketua untuk bersedia menerima dengan terbuka idea-idea baharu mengikut perspektif yang berbeza. Setiap orang memiliki perspektif yang unik dan berbeza  yang akan memberi keuntungan kepada seluruh pasukan.

Tarikh Input: 30/08/2023 | Kemaskini: 30/08/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcNA3~