Oleh : Puan Syarifah Sheril Azlin binti Syed Baharin K.B.;P.A.
Pertama sekali, saudara/saudari perlu jelas dengan fokus kerjaya bagi bidang bioteknologi ini. Kerjaya dalam bidang bioteknologi adalah amat penting untuk menyokong peningkatan dan pembangunan pelbagai industri di Malaysia termasuklah pertanian, penternakan, makanan, perubatan, pembuatan dan juga pengurusan sisa. Hal ini selaras dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2005-2020 untuk membangunkan bidang bioteknologi sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi. Dasar ini memfokuskan untuk pembangunan tiga sektor ekonomi iaitu pertanian, penjagaan kesihatan dan pembuatan industri, serta menyokong pembangunan ekosistem komuniti saintifik, akademik dan perniagaan (Sumber : Laman Web Fakulti Bioteknologi & Sains Biomolekul)
Berikut adalah maklumat kerjaya bagi pelajar atau graduan Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian :
1) Saintis / Pengurus Teknologi Makmal Perubatan
Tugas saintis adalah menjalankan penyelidikan dalam makmal. Tugas mereka ini meliputi pengurusan makmal, persediaan dan pengendalian bahan dan peralatan, penyelenggaraan makmal dan peralatan, serta pengurusan sebelum, semasa, dan selepas penyelidikan. Mereka ini bekerja di makmal diagnostik seperti di gribbles, pathlab, chemlab, gnosis, bp healthcare, hospital-hospital dan sebagainya.
2) Pembantu Makmal/ Pembantu Penyelidik (Junior)
Tugas utama pembantu makmal ini adalah menjalankan tugas mengikut peraturan keselamatan makmal yang ditetapkan. Selain itu, pembantu makmal ini menguruskan keperluan bantu mengajar di makmal dan mempamerkan peraturan serta panduan keselamatan makmal. Tugas pembantu makmal ini juga beri fokus kepada membantu penyelidik atau saintis menjalankan penyelidikan dalam makmal dan luar makmal. Industri bagi jawatan ini adalah banyak ditawarkan di Universiti/ Institut Pengajian Tinggi.
3) Quality Control (Bioteknologi)
Dalam industri penghasilan pemakanan, peranan QC (Bioteknologi) adalah menjalankan kawalan tentang penghasilan makanan atau produk yang dihasilkan sebelum sampai ke tangan pelanggan. Tugas mereka memastikan kawalan tarikh luput dan penghasilan kimia dalam makanan.
4) Ahli Mikrobiologi
Tugas ahli mikrobiologi adalah menyelidik fisiologi mikroorganisma. Mereka juga menyelidik interaksi mikroorganisma dengan manusia dan haiwan lain. Mereka juga kerap bekerja dalam pembangunan ubat-ubatan dan vaksin untuk memerangi mikroorganisma patologi serta membangunkan kaedah penggunaan mikroorganisma tertentu dalam pengeluaran dan pemuliharaan makanan. Selain itu, mereka membangunkan sistem untuk memerangi dan mengawal mikroorganisma dalam rawatan air. Ada juga mereka mempunyai tugas mencipta sistem pengurusan keselamatan makanan.
5) Ahli Biokimia
Tugas jawatan ini adalah sebagai penyelidik yang mengkaji kesan ubat-ubatan, hormon dan nutrien pada tubuh manusia.
Besar bukan peranan mereka dalam bidang bioteknologi ini? Hebat sungguh kerjaya ini. Bagaimana anda dapat sesuatu?

Tarikh Input: 30/08/2024 | Kemaskini: 30/08/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia