Oleh : Puan Izwana binti Ismail K.B.;P.A.

Kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian yang penting dalam pendidikan masa kini. Dengan tuntutan akademik yang meningkat dan tekanan sosial yang berterusan, penting bagi pelajar untuk menjaga keseimbangan emosi dan mental mereka. Berikut adalah enam tip yang dapat membantu meningkatkan kesihatan mental pelajar;
1. Jaga Kesihatan Fizikal
Kesihatan fizikal penting dan salah satu cara untuk menjaganya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Pelajar boleh mempraktikkan senaman. Senaman bukan hanya baik untuk kesihatan fizikal, tetapi juga berkesan dalam mengurangkan tekanan dan kegelisahan. Pelajar disarankan untuk mengambil masa untuk melakukan senaman ringan setiap hari, seperti berjalan kaki atau berbasikal bagi membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan ketenangan hati.
2. Amalkan Teknik Pengurusan Stres
Pelajar perlu mempelajari teknik pengurusan stres yang sesuai dengan mereka, seperti teknik pernafasan iaitu cara yang paling mudah untuk membantu mengurangkan apa yang dialami oleh pelajar. Dengan mengamalkan teknik ini, mereka dapat mengurangkan kesan negatif tekanan dan meningkatkan keupayaan untuk menangani cabaran.
3. Pastikan tidur yang cukup dan berkualiti
Kekurangan tidur boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan prestasi akademik. Pelajar perlu memastikan mereka mendapat tidur yang cukup setiap malam, dengan menetapkan jadual tidur yang konsisten dan mengelakkan kebiasaan tidur lewat.
4. Sokongan Sosial dan Emosi
Sokongan sosial dan emosi yang kukuh dapat memberi kekuatan kepada kesihatan mental pelajar. Mereka perlu mencari sokongan dari rakan sebaya, keluarga, atau profesional jika diperlukan.
5. Tetapkan rutin harian
Penting untuk pelajar memahami keperluan mereka sendiri dan mengamalkan keseimbangan antara kerja akademik dan waktu senggang. Mengambil masa untuk berehat dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan di luar waktu kuliah dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan keceriaan.
6. Dapatkan bantuan profesional bila perlu
Akhirnya, penting bagi pelajar untuk memahami bahawa mendapatkan bantuan profesional adalah tanda keberanian, bukan kelemahan. Jika mereka menghadapi masalah kesihatan mental yang serius atau kesukaran yang tidak dapat diatasi sendiri, mereka perlu mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau pakar kesihatan mental.
Tarikh Input: 17/06/2025 | Kemaskini: 17/06/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia