AKTIVITI HEALING SEKADAR TREND ATAU BENAR-BENAR MEMBANTU | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » AKTIVITI HEALING SEKADAR TREND ATAU BENAR-BENAR MEMBANTU

AKTIVITI HEALING SEKADAR TREND ATAU BENAR-BENAR MEMBANTU

Penulis : Haniff bin Abdullah Hashim K.B,P.A

Penggunaan terma healing menjadi trend di media sosial sekarang. Sekiranya disemak kandungan berkaitan dengan terma healing yang digunakan media sekarang, bolehlah kita katakan healing itu adalah satu tindakan mendapatkan kelegaan dari tekanan, kebimbangan dan pelepasan diri dari emosi tidak selesa yang dihadapi oleh individu. Persoalannya, adakah saranan healing yang disarankan oleh media benar-benar berkesan? Menjawab persoalan tersebut, pertamanya adalah pengguna perlu menyemak objektif menjalankan aktiviti healing tersebut. 

1). Tempoh masa kelegaan 

Sekiranya saranan menjalankan aktiviti healing adalah mendapatkan kelegaan dalam tempoh masa yang singkat, maka aktiviti seperti bercuti, menjalankan aktiviti outdoor, bersampan, berenang dan sebagainya adalah sangat berkesan. Sekiranya matlamat healing adalah bersifat jangka masa panjang, ianya perlu dibantu dengan intervensi profesional. Tanpa intervensi profesional masa yang diambil untuk mendapat kelegaan akan lebih lama. Implikasi jika tidak mendapatkan bantuan profesional maka ia boleh menjurus kepada risiko kepada diri dan boleh menyebabkan ketagihan. 

2). Tahap keseriusan sesuatu isu berkaitan emosi

Isu emosi yang bersifat semasa dan ringan boleh diatasi dengan aktiviti segera seperti bersenam, aroma terapi, berurut, berjalan dan beriadah. Sekiranya masalah emosi adalah suatu perkara yang sudah berlanjutan dan semakin serius, aktiviti seperti yang dinyatakan adalah sebagai penyelesaian bersifat sementara. Saranan dari pihak profesional adalah segera dapatkan khidmat nasihat, berkemungkinan permasalahan tersebut memerlukan intervensi seperti ubatan, sesi kaunseling atau psikoterapi. 

3). Jenis aktiviti

Individu adalah makhluk yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Individu juga mempunyai personaliti yang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu sesuatu aktiviti boleh mengurangkan tekanan emosi kepada seseorang, belum tentu boleh mendatangkan kelegaan emosi kepada individu yang lain. Oleh itu para pengguna media sosial perlu mengenali personaliti, minat, kemampuan dan risiko sebelum melakukan sesuatu aktiviti. Adalah perlu dielakkan dari aktiviti yang pada mulanya dijalankan dengan tujuan untuk mengurangkan ketenangan tetapi berakhir dengan tragedi, trauma atau fobia. 

Pengurusan emosi dan kesihatan mental adalah sesuatu yang sangat penting. Oleh itu para pengguna media sosial perlu lebih bijak dalam membuat keputusan. Rujukan dan ilmu yang tepat perlu diperolehi dalam mendapatkan intervensi berkaitan isu emosi sama ada dalam jangka masa pendek, apatah lagi dalam jangka masa panjang. 

 

Tarikh Input: 29/06/2023 | Kemaskini: 29/06/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcQAm~