ANAK TANTRUM, APA NAK BUAT? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » ANAK TANTRUM, APA NAK BUAT?

ANAK TANTRUM, APA NAK BUAT?

Oleh : Encik Mohd Redzuan bin Zamberi K.B.;P.A.

Apakah yang dimaksudkan dengan tantrum ?
Tantrum adalah luahan ketidakpuasan hati kanak-kanak atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung lagi. Ia merupakan luahan kemarahan kanak-kanak dan ada kalanya bercampur dengan rasa takut. Ianya lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 2-4 tahun. Sesetengah kanak-kanak akan kerap mendapat tantrum dan setengahnya pula terjadi sesekali sahaja.
Apakah tanda dan gejala tantrum ?
Kanak-kanak yang mengalami tantrum, menunjukan tingkah laku seperti menangis, menjerit, menendang, menghentak, menahan nafas, dan melontar benda atau barang.
Apakah yang menyebabkan tantrum berlaku ?
Tantrum biasanya berlaku apabila kanak-kanak itu berasa letih, lapar atau tidak selesa. Kadangkala kana-kanak tantrum disebabkan tidak mendapat apa yang dikehendaki dan untuk mendapatkan perhatian.
Bagaimana tantrum dapat ditangani ?
Ini adalah tip yang dapat dapat membantu ibu bapa yang runsing menangani isu anak tantrum. Terdapat ibu bapa membiarkan anak mereka yang tantrum berterusan menangis dan mengamuk. Ada juga dalam beberapa keadaan ibu bapa yang kepenatan, bertindak secara luar kawalan terhadap anak-anak mereka seperti menengking, memarahi atau memukul. Perbuatan ibu bapa ini dengan menghukum si kecil mereka tanpa mereka mengerti apakah hukuman ini membentuk akhlak mereka ataupun mereka boleh terkesan emosi dan trauma.
Menurut kajian dan hasil penelitian Dr Lise Eliot, Profesor di Jabatan Neurosains, Sekolah Perubatan Chicago (Chicago Medical School), anak pada usia 2-3 tahun, berada dalam tahap usia emas. Suara tengkingan dan herdikan yang keluar dari ibu bapa dapat mematikan sel otak yang sedang berkembang. Setiap kanak-kanak mereka mempunyai 10 trilion sel otak yang tumbuh semasa pembesaran mereka. Ketahuilah setiap tengkingan atau makian ibu bapa kepada kanak-kanak mereka, akan membunuh lebih dari sejuta sel otak mereka. Satu cubitan atau pukulan mampu membunuh lebih dari 10 juta sel otak kanak-kanak ketika itu juga. Sebaliknya 1 pujian atau pelukan akan membina kecerdasan lebih dari 10 trilion sel otak pada masa itu.
Tip pertama adalah elakkan kanak-kanak berada dalam keadaan yang menjurus ke arah tantrum tersebut. Contohnya, dalam situasi kanak-kanak ingin memiliki suatu objek yang bukan miliknya, atau berebut untuk mendapatkan objek yang terhad bilangannya atau situasi di pasar raya atau di rumah orang lain ketika datang menziarah. Kanak-kanak cenderung untuk mendapatkan atau memiliki objek yang mereka suka dalam apa jua sekalipun. Sekiranya tidak berjaya untuk dapatkan sesuatu yang dihajati, mereka akan bertindak seperti menangis, menjerit, bergaduh atau protes dengan bersembunyi untuk dipujuk atau mendapatkan perhatian. Perbuatan tantrum kanak-kanak adakalanya pasif atau pun agresif bergantung kepada situasi dan emosi mereka ketika itu.
Tindakan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mengawal situasi ini ialah mengalih perhatian dan menggantikan dengan objek lain yang lebih mudah dan bermakna. Misalnya, seorang kanak-kanak ingin memiliki anak patung kegemarannya di pasar raya atau pun anak patung tersebut milik saudaranya atau sepupunya, maka ibu bapa cuba jauhkan objek tersebut dengan sembunyikan anak patung itu dari pandangan kanak -kanak itu. Ibu bapa boleh juga meletakkan objek yang dikehendaki itu di tempat yang tinggi agar kanak-kanak tak dapat capai. Lebih baik objek tersebut juga tidak boleh dicapai oleh ibu bapa, dengan menunjukkan aksi kepada kanak-kanak itu bahawa objek tersebut terlalu tinggi dan tidak boleh diambil.
Dalam masa yang sama ibu bapa cuba berikan objek atau mainan lain untuk cuba alih perhatian kanak-kanak itu. Ibu bapa perlu memberi makna kepada objek yang diganti dengan menyatakan objek ini lebih cantik dan lebih hebat. Ini adalah tindakan memberi makna kepada objek tersebut agar kanak-kanak merasakan beruntung dari kerugian tidak dapat memiliki objek asal.

Tip kedua yang boleh ibu bapa dengan memberi makna kepada minda kanak-kanak seperti ibu bapa memarahi mereka bukan sebab benci tetapi sangat sayang kepada mereka dengan alasan logik yang boleh dicapai oleh pemikiran mereka, misalnya objek itu bahaya dan boleh mencederakannya jika terus bermain dalam tempoh yang lama. Ibu bapa boleh sampaikan cerita yang dramatik seperti ada kanak-kanak lain pernah cedera akibat terlalu bermain dengan objek tersebut. Ilmu atau pengajaran yang cuba diterapkan oleh ibu bapa kepada kanak kecil mereka dalam tip ini agar kanak-kanak tidak terlalu sensitif bila dimarahi ibu bapa mereka dalam mendidik mereka. Mereka perlu sematkan dalam minda bahawa ibu bapa mereka sayangkan mereka dan bukan tidak mahu membeli atau memberikan setiap permintaan mereka pada setiap masa. Dalam kata erti lain info yang cuba disampaikan kepada kanak-kanak bahawa layanan negatif yang diterimanya (contoh membiarkan diri dimarahi oleh ibu bapa) adalah lebih baik daripada tidak mendapat layanan. Kanak-kanak perlu diajar bersabar untuk mendapatkan apa yang dihajatinya dengan menunjukkan akhlak yang baik. Mereka akan dapat penghargaan pada masa yang sesuai setelah mereka melakukan banyak kebaikan kepada ibu bapa. Selain elemen sabar yang dibimbing, nilai melakukan kebaikan sebanyak mungkin untuk mendapatkan hadiah bermakna dari ibu bapa mereka. Apabila kanak-kanak sering mendapatkan apa yang mereka hajati tanpa berusaha maka ketika meniti usia dewasa, mereka akan berpandangan semuanya boleh dimiliki tanpa dihalang.
Tip ketiga adalah dengan memberi penghargaan semasa kanak-kanak sedang tantrum. Kanak-kanak yang tantrum biasanya akan disisihkan atau pun kebiasaanya dimarahi atau dihukum dengan membiarkan mereka bertindak dengan fikiran Tindakan itu akan berhenti apabila mereka letih atau reda. Contohnya seorang ibu memuji anaknya yang sedang tantrum tak dapat turut serta dalam lawatan sekolah atas alasan yuran lawatan yang mahal dan risau anak kecil anda nakal dan sukar dikawal guru jika berada di luar sekolah.

“ibu suka Hanna tak jerit-jerit dan menangis kuat. Hanna dah semakin besar dan pandai., jika berterusan begini, Ibu akan bawa Hanna pergi ke Pusat Sains Negara dengan ayah, abang dan kakak pada cuti sekolah nanti. Kan lagi seronok dari rombongan dengan kawan-kawan tanpa ibu, dan ayah. Kita pergi sama-sama nanti ye…”

Tip keempat adalah Tenangkan diri. Tantrum kanak-kanak akan bertambah teruk jika kita sendiri berada dalam keadaan tidak tenang.banyak keadaan. Kanak=kanak tantrum tidaklah keterlaluan, namun ibu bapa yang stress, mula memarahi dan menengking anak kecil itu secara berlebihan. Jadi ibu bapa juga perlu bertenang, sabar dan bertindak ikut keadaan agar kanak-kanak dididik bukan dihukum. Tindakan ibu bapa perlu seiring dengan pengajaran, bukan hukuman yang membawa trauma kepada anak-anak, hingga mereka terus menjadi degil, protes dan berdendam.

Tip Kelima, bimbingan dan didikan perlu tegas dan konsisten.tidak salah ibu bapa bertegas untuk tidak menunaikan apa yang dihajati anak mereka. Contohnya,
“Papa akan belikan Mia telefon bimbit setelah lepasan SPM dan Berjaya memperoleh Keputusan yang bagus nanti. Buat masa ini telefon bimbit bukan keperluan penting dalam persekolahan. Tujuan papa belikan telefon bimbit, kerana pada ketika itu, Mia dah remaja dan pandai menjaga barang selain penghargaan terhadap kejayaan yang dikecapi”

Tip terakhir adalah masa rehat (Time out). Jika tantrum menjadi lebih buruk, time out (masa rehat) boleh dilakukan pada kanak–kanak yang berumur lebih daripada 3 tahun. Pada kebiasaannya kanak -kanak cenderung untuk mencari zon selamat untuk dirinya bertenang bila kecewa tidak dapat apa yang dihajati. Misalnya, apabila ibu bapa merampas anak patung yang disukainya kerana berebut dengan kakaknya, akank-kanak itu akan bersembunyi di tempat kesukaannya, tanda protres. Jadi ibu bapa jangan terus memujuk, beri satu tempoh bertenang selama 5 hingga 10 minit, kemudiannya ibu bapa memanggil anak itu, atau memujuk mereka selepas tamat masa rehat itu. satu jangka masa tertentu: biasanya 1 minit untuk setiap tahun umurnya. Lakukan sebegitu sehingga dia dapat menenangkan diri. Beritahu dia kenapa dia perlu berbuat demikian. Bila kanak-kanak itu sudah selesai di beri masa rehat, jangan marah dia lagi, beri pujian kepadanya kerana beliau dapat menenangkan diri dan dapat mengawal dirinya sendiri.

Tarikh Input: 30/06/2024 | Kemaskini: 30/06/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (08:43:10pm-08:48:10pm, 25 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]