Bahasa Cinta Isteri Yang Sukar Difahami | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Bahasa Cinta isteri yang sukar difahami

Bahasa Cinta isteri yang sukar difahami

Oleh : Encik Mohd Redzuan bin Zamberi K.B.;P.A.

Apa itu bahasa cinta? Bahasa cinta tidak semestinya dalam bentuk kata-kata iaitu verbal, kadangkala bahasa cinta diluahkan dalam bentuk non-verbal iaitu dalam bentuk tindakan. Persoalannya adakah bahasa cinta ini difahami oleh pasangan? dan apakah pula bahasa cinta yang diperlukan oleh isteri dalam perhubungan? 

Bahasa cinta isteri berbeza mengikut individu.  Ini kerana setiap individu  memiliki cara tersendiri dalam menyatakan kasih sayang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ungkapan umum yang sering digunakan suami  kepada isteri untuk menyatakan kecintaannya. Berikut adalah beberapa contoh:

"Sayang, aku cinta padamu."

"Isteriku tercinta, kau adalah segalanya bagiku."

"Hati ini milikmu selamanya."

"Terima kasih atas cintamu yang tulus."

"Kau membuat hidupku lebih indah setiap hari."

"Kau adalah matahari dalam kegelapan hidupku."

"Aku bersyukur memiliki isteri sepertimu."

Selain luahan kata-kata, tindakan juga merupakan bahasa cinta yang penting. Melibatkan diri dalam kehidupan harian, mendengar, memberi dukungan dan memahami keperluan isteri adalah cara yang efektif dalam menyatakan cinta. Memahami bahasa cinta isteri turut memudahkan suami berkomunikasi secara efisien dengan isteri. 

Menurut Dr. Gary Chapman, terdapat lima bahasa cinta. Ianya adalah cara individu mengekspresikan perasaan. Penggunaan bahasa cinta yang tepat membuat pasangan lebih dihargai. 

Bahasa cinta yang pertama adalah ‘word of affirmation’ iaitu kata-kata tegasan, penghargaan atau pujian yang dinanti-nantikan oleh pasangan anda atau sesiapa sahaja yang rapat dengan anda. Contohnya, “saya sayang kamu”, “kamu sangat cantik di mata saya” “kamu nampak hebat hari ini!”, adalah kata-kata yang sering diucapkan oleh seseorang yang memiliki bahasa cinta ini. Ini tidak bermaksud seseorang itu hidup dengan pujian semata-mata tetapi inilah bahasa cinta yang dia miliki dan ianya amat membahagiakan pasangannya yang juga mempunyai bahasa cinta sebegini. Perkataan yang dilontarkan mungkin kedengaran biasa, tetapi ia menjadi sebaris perkataan yang cukup bernilai dan dinanti-nantikan oleh seseorang isteri.

Bahasa cinta yang kedua ialah ‘quality time’. Individu yang memiliki bahasa cinta ini memerlukan 100% perhatian dan fokus anda ketika bersama. No multitasking untuk mereka! Mereka hanya memerlukan anda untuk meluangkan masa bersama mereka. Contohnya, anda sangat suka bermain futsal, lalu pasangan anda sudi menemankan anda bermain futsal dan memenuhi masa bersama, itulah yang dikatakan bahasa cinta kedua ini. Bersantai di sofa, menonton televisyen, berbual dan terus berbual antara satu sama lain juga adalah bahasa cinta jenis ini. Jadi, adalah penting mengenali bahasa cinta pasangan kita agar dapat mengelakkan krisis hati akibat salah faham atau salah tafsir dalam mengenali bahasa cinta pasangan.

Bahasa cinta yang ketiga adalah ‘receiving gifts’ iaitu menerima hadiah atau sesuatu yang dianggap bernilai dan merasakan diri mereka dihargai oleh anda. Kebanyakan orang yang memiliki bahasa cinta ini bukanlah terlalu materialistik, tetapi itu adalah bahasa cinta dirinya. Dengan menerima hadiah daripada orang yang disayangi dan diharapkan, si dia akan merasa sangat bahagia walaupun hadiah tersebut tidaklah mahal dan berjenama sekalipun. Hadiah kepada mereka adalah simbolik kepada perasaan dihargai dan difahami.

Bahasa cinta yang keempat adalah ‘act of service’ iaitu mempamerkan cinta melalui pertolongan melakukan kerja rumah, kerja urusan peribadi dan lain-lain. Pernahkah isteri merasakan sangat berbesar hati, rasa dihargai dan begitu suka terhadap suami yang mahu membantu meringankan kerja seperti seterikakan tudung isteri, membuatkan minuman, mengemas rumah dan mengurut badan isteri. Lebih-lebih lagi perbuatan itu diiringi dengan perkataan yang isteri suka dengar dari suami seperti, “biarkan saya buat untuk awak’’. Individu yang memiliki bahasa cinta ini walaupun tidaklah terlalu romantik, namun individu dari bahasa cinta jenis ini merasakan mereka adalah individu menyayangi secara semulajadi dan tulen. Contohnya, apabila si suami melihat pinggan mangkuk dalam sinki sudah bertimbun sedangkan si isteri masih belum selesai makan, lalu si suami mencuci pinggan mangkuk yang ada tanpa sebarang kata tetapi melaksanakan tugas itu dengan sempurna sehingga selesai. Itulah cinta! Pasangan yang mudah mencintai, gembira dan bersungguh-sungguh terhadap pasangannya adalah apabila perkara-perkara kecil yang dilakukannya dihargai.

Bahasa cinta yang kelima ini iaitu “physical touch” bukanlah sentuhan dari segi seksual tapi lebih kepada sentuhan kasih sayang. Perbuatan fizikal seperti pelukan mesra bagi beberapa saat dan berpegangan tangan mengalirkan emosi suami ke dalam hati isteri merasa gembira dan tersentuh hati serta bahagia apabila suaminya memeluk, mencium  atau berlaga pipi ketika bertemu, jadi secara khususnya isteri memerlukan bahasa cinta kelima ini untuk menghangatkan rasa cinta suami isteri. 

Kajian menyebut bahawa sentuhan pasangan memberi cas-cas electron yang dapat  memberikan keseimbangan tenaga manusia. Apabila kita mula banyak menghubungkan diri secara fizikal, kita dan pasangan akan mudah bertindak spontan bagi melakukannya lagi. Bahasa cinta yang difahami dengan jelas mampu mengurangkan salah tafsir dan krisis dalam rumahtangga. Seringkali terjadi salah faham apabila isteri merasakan sentuhan bahasa cinta kelima ini, suami ingin berhubungan intim dan sedang bernafsu ghairah. Apabila isteri mengelak untuk kerap bersentuhan, berpelukan dan bercium, mengakibatkan suami mula menjauhi bahasa cinta ini kerana signal yang tidak sama dalam menghangatkan hubungan cinta. Oleh yang demikian, komunikasi verbal perlu dilaksanakan kedua suami isteri untuk dapatkan persefahaman. Isteri sebenarnya memerlukan banyak sentuhan dalam hubungan, manakala suami perlu membuktikan sentuhan ini adalah bahasa cinta kelima yang bertujuan untuk menghangatkan cinta, dan bukan untuk berintimasi atau keghairahan untuk berhubungan intim.

Kesimpulannya, bahasa cinta ini mungkin dilihat remeh. Realitinya bahasa cinta yang tidak diketahui umum ini, dapat meningkatkan tahap kebahagiaan dalam perhubungan. Ini kerana bahasa cinta yang dipraktikkan secara tepat terhadap pasangan, malah sesiapa jua yang anda sayangi, ianya adalah amat mendamaikan dan memberi semangat dalam melalui kehidupan berkasih yang penuh bermakna. Sesungguhnya bahasa cinta yang dipelajari dan difahami mampu membuat si isteri tertarik hati pada si suami setiap hari dan setiap waktu.

Tarikh Input: 28/12/2024 | Kemaskini: 28/12/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (02:17:02pm-02:22:02pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]