Oleh: Dr. Ansarul Haq bin Tahrir Adli

Keletihan melampau dalam akademik atau academic burnout semakin menjadi isu serius dalam kalangan pelajar universiti. Beban tugasan, tekanan peperiksaan, dan harapan tinggi boleh menyebabkan rasa letih, kurang motivasi, dan akhirnya menjejaskan prestasi akademik. Namun, burnout bukanlah pengakhiran, ianya boleh diatasi dengan strategi yang betul. Jika anda pernah berasa tidak bermaya dalam pelajaran, inilah masanya untuk berubah daripada keletihan melampau kepada kejayaan!
Salah satu punca utama burnout ialah belajar tanpa strategi yang berkesan. Ramai pelajar menghabiskan masa berjam-jam menelaah tanpa rehat yang mencukupi, menyebabkan otak mereka letih dan kurang produktif. Penyelesaiannya? Gunakan teknik pembelajaran pintar seperti ‘Pomodoro’, di mana anda belajar selama 25 minit dan berehat selama 5 minit. Ini membantu meningkatkan tumpuan tanpa memberi tekanan kepada diri sendiri.
Selain itu, pengurusan masa yang lemah juga boleh menyumbang kepada kelesuan untuk fokus dalam akademik. Pelajar cemerlang tahu bahawa kualiti lebih penting daripada kuantiti. Buat jadual belajar yang seimbang, asingkan masa untuk berehat, tidur yang mencukupi, dan aktiviti yang menyegarkan minda seperti bersenam atau meluangkan masa bersama rakan-rakan. Otak yang sihat lebih mudah menyerap ilmu dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran akademik.
Pola Pemikiran juga memainkan peranan penting dalam mengatasi burnout. Jika anda sering berasa terbeban, ubahlah perspektif anda terhadap pembelajaran. Janganlah menganggap peperiksaan sebagai tekanan semata-mata, tetapi lihat ia sebagai peluang untuk menilai sejauh mana anda telah memahami sesuatu topik. Gunakan ‘growth mindset’, iaitu percaya bahawa setiap kesukaran adalah peluang untuk berkembang, bukan sekadar ujian yang menentukan masa depan anda.
Satu lagi langkah penting ialah belajar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada perkara yang tidak penting. Ramai pelajar terperangkap dalam aktiviti bukan akademik yang berlebihan hingga mengorbankan masa belajar dan rehat. Fokus pada keutamaan dan elakkan bebanan yang tidak perlu.
Kesimpulannya, sebagai pelajar yang mengalami burnout perlu memahami bahawa ianya adalah satu isyarat bahawa anda perlu mengubah cara anda belajar dan mengurus diri. Dengan teknik pembelajaran yang bijak, pengurusan masa yang baik, pola pemikiran yang positif, dan keseimbangan dalam kehidupan, pelajar boleh bangkit daripada keletihan melampau dan mencapai kejayaan luar biasa. Jangan biarkan tekanan menguasai anda, fahami dan nilai punca-punca kegagalan lalu, bertindak segera untuk menjadi pelajar yang lebih baik !
Tarikh Input: 28/06/2026 | Kemaskini: 28/06/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia