Oleh : Cik Nur Syahida Wirduna binti Zulkifly

Diet adalah amalan pemakanan yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Seiring dengan perkembangan zaman, semakin ramai yang mengambil berat tentang pemilihan makanan bagi memastikan tubuh badan berada dalam keadaan yang sihat dan kekal cergas. Pelbagai jenis diet muncul dengan pelbagai tujuan, antaranya untuk menurunkan berat badan, meningkatkan tahap kesihatan atau sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang lebih sihat. Walau bagaimanapun, persoalan utama yang sering timbul adalah:
“Adakah diet itu memberi manfaat atau membawa mudarat kepada kesihatan?”
Secara amnya, diet yang baik adalah diet yang seimbang, iaitu mengandungi pelbagai jenis makanan yang memberikan semua nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Pemakanan yang kaya dengan protein, lemak sihat, karbohidrat kompleks serta vitamin dan mineral amat penting untuk menyokong fungsi tubuh badan. Sebagai contoh, makan makanan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh dapat membantu tubuh badan untuk mengekalkan tenaga, mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung.
Namun, tidak semua diet yang diamalkan adalah selamat. Terdapat beberapa jenis diet yang terlalu ketat dan ekstrem seperti diet rendah kalori yang berpanjangan atau diet yang menghadkan kumpulan makanan tertentu. Diet sebegini boleh menyebabkan tubuh badan kekurangan nutrien penting yang akhirnya boleh menjejaskan kesihatan. Tidak dapat dinafikan jika kekurangan vitamin, mineral dan serat boleh menyebabkan berlakunya masalah kesihatan seperti keletihan, penurunan daya imun serta gangguan kepada fungsi organ. Selain itu, diet yang terlalu menekankan penurunan berat badan secara drastik juga boleh memberi kesan negatif terhadap mental dan emosi individu seperti kegelisahan atau kemurungan.
Seterusnya, diet yang menjanjikan tindak balas yang cepat juga berisiko mendatangkan kesan mudarat pada tubuh badan. Sebagai contoh, terdapat beberapa jenis produk diet yang dipromosikan dan menjanjikan kesan yang cepat pada tubuh badan. Perkara ini boleh mendatangkan bahaya kerana mungkin produk tersebut berisiko mempunyai kesan sampingan jika diamalkan dalam jangka masa yang panjang. Di samping itu, diet yang terlalu bergantung pada makanan tambahan (supplement) juga boleh mengganggu keseimbangan nutrisi dalam tubuh dan memberi kesan negatif kepada kesihatan jangka panjang.
Kesimpulannya, diet yang baik adalah diet yang seimbang serta berasaskan makanan yang sihat dan bukannya yang terlalu ekstrem atau berisiko. Jika seorang individu ingin melakukan diet, adalah penting untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor yang bertauliah bagi memastikan diet tersebut sesuai dan selamat untuk tubuh badan. Tuntasnya, pemakanan yang sihat bukan hanya untuk menurunkan berat badan, tetapi bagi memastikan tubuh badan dan minda kekal dalam keadaan yang terbaik.
Tarikh Input: 24/09/2025 | Kemaskini: 24/09/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia