Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
Sejak dari bangku sekolah, kanak-kanak dipupuk untuk mempunyai hobi. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah hobi bermaksud, kegemaran yang dilakukan oleh seseorang pada waktu lapang. Hobi merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan seseorang. Ada yang mempunyai hobi secara bermusim, malah ada juga konsisten dengan hobi yang dilakukan sejak dari kanak-kanak sehingga mencapai alam dewasa. Kini, dapat dilihat hobi yang dipilih tidak lagi aktiviti fizikal seperti zaman sebelum ini. Rata-rata remaja memilih untuk bersama gajet sebagai hobi mereka berbanding aktiviti-aktiviti fizikal yang lebih sihat.
Merujuk pada teori Keperluan Asas Manusia, Maslow, keperluan hobi dikatakan merupakan keperluan kelima (5) iaitu fasa keperluan dalam Hasrat Diri (Self Actualization) yang mana fasa ini adalah fasa keperluan pencapaian hasrat diri yang merujuk pada pengisian jiwa, minat, kreativiti serta keperluan mencapai potensi diri. Jadi, ini bermakna mempunyai hobi juga merupakan asas keperluan dalam kehidupan seseorang.
Apabila dikaitkan dengan aktiviti sihat, dapat dikaitkan yang pemilihan HOBI yang baik sangat memainkan peranan penting dalam menjana kehidupan yang sejahtera. Bagaimana pemilihan HOBI ini bermanfaat untuk keseimbangan mental dan fizikal seseorang?
1. Ruang Peribadi – Melakukan hobi dalam ruang peribadi merupakan suatu perkara yang sangat diperlukan oleh seseorang. Menghormati ruang peribadi ini salah satu cara anda menyayangi diri sendiri.
2. Cipta Hobi Positif - Setiap orang berpeluang memilih hobi masing-masing. Namun pemilihan hobi yang bersesuaian dapat membantu kecerdasan dan kecergasan diri anda. Sebaiknya ciptakan hobi yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan diri.
3. Hobi sebagai Sokongan Emosi Positif - Jadikan Hobi sebagai aktviti yang boleh menyumbang kepada sokongan emosi. Perkongsian hobi dengan individu yang lain menggalakkan komunikasi melalui peluahan dan perkembangan idea.
Oleh itu, milikilah hobi yang mampu menjana kebaikan dan faedah kepada kesihatan mental dan fizikal anda. Pilihlah hobi yang mampu membuatkan anda berasa bahagia dan sekali gus pengamalan cara hidup sihat.
Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia