Introvert? Boleh Ke Jadi Pemimpin? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Introvert? Boleh ke Jadi Pemimpin?

Introvert? Boleh ke Jadi Pemimpin?

Oleh : Cik Nik Fatin Nur Aqilah binti Muhammad Hilmi

Apabila bercakap tentang kepimpinan, ramai yang membayangkan seorang individu yang lantang bersuara, berkarisma, dan penuh keyakinan. Ciri-ciri ini sering dikaitkan dengan personaliti extrovert. Tetapi bagaimana pula dengan individu yang mempunyai personaliti introvert? Adakah mereka boleh menjadi pemimpin yang berjaya? Jawapannya ya, sudah tentu.

Salah satu mitos terbesar dalam kepimpinan ialah pemimpin mesti merupakan seorang yang extrovert. Hakikatnya, ramai pemimpin hebat di dunia sebenarnya merupakan dalam kalangan introvert. Contohnya Bill Gates, Mark Zuckerberg, dan Barack Obama. Mereka bukanlah individu yang sentiasa mendominasi perbualan, namun keupayaan mereka dalam mendengar, berfikir secara mendalam, dan membuat keputusan yang tepat telah menjadikan mereka pemimpin yang berjaya.
Tidak perlu menjadi individu yang sentiasa menonjol untuk menjadi pemimpin yang berkesan. Pemimpin introvert cenderung lebih fokus dalam mendengar dan memahami keperluan serta pendapat orang lain sebelum membuat keputusan, dan hal ini membantu dalam membina hubungan yang kukuh dengan pasukan. Mereka juga lebih cenderung untuk menganalisis sesuatu dengan teliti sebelum bertindak, mengurangkan risiko kesilapan dalam membuat keputusan. Selain itu, mereka lebih sensitif terhadap emosi dan keperluan pasukan mereka, menjadikan mereka pemimpin yang memahami serta memberi sokongan yang diperlukan. Dalam menghadapi tekanan, introvert sering kali lebih baik dalam mengurus situasi mencabar kerana mereka lebih mengutamakan pemikiran strategik berbanding tindakan impulsif.

Walaupun introvert mempunyai banyak kelebihan, mereka juga menghadapi cabaran tertentu dalam kepimpinan. Salah satunya adalah rasa kurang yakin untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Namun, cabaran ini boleh diatasi dengan latihan secara berperingkat, bermula dengan kumpulan kecil sebelum berhadapan dengan audiens yang lebih besar. Selain itu, mereka juga mudah merasa letih dalam suasana sosial yang terlalu aktif, jadi penting untuk memberi masa kepada diri sendiri untuk berehat dan mengumpul tenaga selepas sesi interaksi yang memerlukan banyak tumpuan. Dalam kumpulan yang dipenuhi individu extrovert, introvert mungkin sukar untuk menonjol. Namun, mereka boleh menggunakan kekuatan mendengar dan memberi cadangan yang bernas pada masa yang tepat agar pendapat mereka tetap didengari.

Bagi introvert yang ingin membina kepimpinan diri, terdapat beberapa langkah yang boleh membantu. Antaranya ialah, kenali gaya kepimpinan sendiri kerana tidak semua pemimpin perlu menjadi individu yang lantang. Gunakan kekuatan yang ada untuk memimpin dengan cara yang autentik. Jika kurang selesa bercakap secara spontan, komunikasi bertulis seperti e-mel dan mesej boleh menjadi alternatif yang berkesan untuk menyampaikan idea dengan jelas. Selain itu, penting untuk membangunkan rangkaian hubungan yang berkualiti dengan individu yang boleh memberi sokongan dan bimbingan dalam perjalanan kepimpinan. Walaupun kepimpinan boleh terasa mencabar bagi introvert, mengambil langkah kecil untuk keluar dari zon selesa dan belajar dari pengalaman adalah sesuatu yang penting dalam membina keyakinan diri.

Jadi, bolehkah seorang introvert menjadi pemimpin? Jawapannya bukan sahaja boleh, malah introvert sering menjadi pemimpin yang hebat kerana sifat mereka yang mendalam, reflektif, dan penuh empati. Kepimpinan bukan tentang siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang mampu membawa perubahan dan memberi impak kepada orang di sekelilingnya. Jika anda seorang introvert, ingatlah bahawa anda tidak perlu mengubah diri untuk menjadi pemimpin. Sebaliknya, gunakan kekuatan unik anda untuk memimpin dengan cara tersendiri. Kepimpinan bukan soal personaliti, tetapi tentang bagaimana anda memberi inspirasi dan membimbing orang lain ke arah kejayaan.

Tarikh Input: 25/09/2025 | Kemaskini: 25/09/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
F, (01:48:18pm-01:53:18pm, 01 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]