JARI MENARI BERSAMA PENA | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » JARI MENARI BERSAMA PENA

JARI MENARI BERSAMA PENA

Oleh : Puan Izwana binti Ismail K.B.;P.A.

Dalam dunia moden yang serba pantas ini, stres menjadi satu perkara lazim dalam kehidupan kita. Tapi, jangan risau, ada cara mudah untuk mengatasi stres tanpa perlu keluarkan banyak duit atau meluangkan masa yang panjang. Salah satu cara yang agak berkesan ialah terapi menulis. Itulah dia jari menari bersama pena.

Apa itu terapi menulis?

Ia sebenarnya satu kaedah terapi alternatif yang melibatkan mengungkapkan perasaan dan pemikiran kita melalui penulisan. Anda tak perlu jadi penulis hebat untuk melakukannya, cukup dengan pena dan kertas atau komputer sudah memadai.

Siapa yang masih kekal menulis diari? Angkat tangan…

Masa zaman kecil-kecil dulu, saya selalu juga tulis diari. Sedih ke, gembira ke semua akan diabadikan dalam diari. Yang utamanya, meluahkan segala perasaan dan pemikiran sama ada di atas kertas mahupun menaipnya di komputer dapat mengurangkan tekanan dan kegelisahan tau! Yelah, daripada kita pendam je ada baiknya kita muntahkan semuanya dalam diari. Sedikit sebanyak akan buatkan kita lega.


Sebelum kita mulakan terapi menulis, carilah tempat yang tenang dan selesa di mana anda boleh mengambil masa untuk merenung dan menulis. Mula dengan menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran anda - perasaan, tekanan, atau kebimbangan. Jangan risau tentang tatabahasa atau struktur ayat, ini bukan tugasan atau kerja sekolah atau karangan Bahasa melayu.

Apabila anda menulis, biarkan idea mengalir dengan bebas. Jangan kritik diri sendiri. Biarkan emosi dan pemikiran anda mengalir melalui perkataan. Anda mungkin akan dapati rasa lega selepas meluahkan segala yang terpendam di dalam hati.

Selain itu, terapi menulis juga membantu kita untuk meneliti dan memahami lebih mendalam tentang diri kita sendiri. Dengan mengenal pasti punca-punca stres dan kebimbangan, kita dapat mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Jadi, cubalah terapi menulis sebagai satu cara untuk menguruskan stres dalam kehidupan anda. Ia tidak memerlukan kos yang tinggi atau masa yang panjang, tetapi memberikan kesan yang positif kepada keadaan emosi dan mental anda. Siapa tahu, mungkin tulisan anda boleh menjadi karya inspirasi untuk diri sendiri dan orang lain. Biarkan jari menari bebas bersama pena agar anda rasa tenang dan lega dan nikmati hidup yang singkat ini.

Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 30/04/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (04:39:44am-04:44:44am, 27 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]