Jom Bina Motivasi Belajar | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Jom Bina Motivasi Belajar

Jom Bina Motivasi Belajar

Oleh : Puan Kemelia Omar

 

Motivasi dalam meningkatkan semangat belajar terbahagi kepada dua, iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik lebih kepada dorongan daripada dalaman diri sendiri dan tidak perlu rangsangan daripada luar. Con-tohnya, seorang pelajar yang hobinya suka membaca tidak memerlukan orang lain untuk mendorong dirinya untuk membaca buku. Ini kerana, ianya datang daripada keinginan sendiri bukan faktor luaran.

 

Manakala, motivasi ekstrinsik pula lebih kepada faktor luaran seperti ahli keluarga, kawan-kawan, hadiah dan sebagainya. Sebagai contoh, seseorang itu belajar kerana mengetahui bahawa ujian akan diadakan pada hari esok dan berharap mendapat nilai yang baik dan dipuji oleh rakan-rakan dan guru.

 

Berikut merupakan beberapa tips untuk meningkatkan motivasi belajar :-

1. Bergaul dengan rakan-rakan yang minat belajar

Rakan merupakan individu yang boleh mempengaruhi diri kita. Apatah lagi jika kita sering bersama mereka, kita juga akan terikut-ikut sifat dan kebiasaan mereka juga. Contohnya, kita akan jadi malas untuk belajar jika sering berkawan dengan rakan-rakan yang malas belajar. Sebaliknya, kita juga akan rajin belajar jika rakan kita seorang yang rajin belajar.

 

2. Menetapkan matlamat yang spesifik

Adalah sangat penting untuk kita menyenaraikan matlamat secara spesifik dan menampal matlamat tersebut di tempat yang sering kita lihat seperti dinding bilik, almari, buku dan juga diari. Ini kerana, ianya boleh membantu mengingatkan kita kepada matlamat dan sekaligus mengekalkan motivasi diri untuk belajar.

 

3. Membuat jadual belajar

Setiap pelajar perlu membuat jadual belajar supaya lebih berdisiplin dalam mengulangkaji pelajaran di samping mengekalkan motivasi belajar. Selain itu, jadual belajar ini juga dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan perkara yang kurang berfaedah dan membuang masa.

 

4. Menampal kata-kata motivasi

Salah satu cara untuk meningkatkan motivasi belajar ialah dengan menampal kata-kata motivasi di tempat yang sering kita lihat. Ini kerana, kaedah ini juga membantu mengingatkan kita untuk terus belajar disaat motivasi belajar kelihatan menurun.

 

5. Jauhi gangguan

Banyak gangguan yang akan membuat diri anda merasa tergoda untuk beralih dari belajar dan melakukan aktiviti lain. Contohnya menonton TV, tidur, bermain game dan melayari internet. Oleh itu, sebelum belajar kita perlulah singkirkan aktiviti tersebut dan pilihlah tempat belajar yang terhindar daripada gangguan tersebut supaya aktiviti mengulangkaji menjadi lebih fokus.

 

6. Pelajari teknik mengingat dengan kata kunci atau akronim.

Otak kita lebih mudah mengingati perkataan dan maklumat yang lebih ringkas. Oleh itu, cara yang terbaik ialah dengan menggunakan kata kunci atau akronim untuk membantu otak kita cepat mengingat sesuatu perkara.

...................................................................

Dipetik daripada Buku 170 Kata-kata Mendorong Menjadi Pelajar Hebat.

Jom lihat pesanan Puan Lia mengenai Tips Membina Motivasi Belajar.

Tarikh Input: 14/04/2021 | Kemaskini: 23/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcMAc~