Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.

Ya, benar. Menulis memang dapat membantu anda untuk ‘release’ emosi yang negatif dan dapat membantu anda lebih rileks.
Kemahiran menulis telah diasah dari zaman persekolahan. Bermula dari belajar merangka sebaris ayat sehinggalah mengarang esei yang panjang. Penulisan dapat membantu meningkatkan kecekapan berfikir, kemahiran bahasa serta meningkatkan daya hidup intelek.
Menulis adalah salah satu medium peluahan idea dan emosi yang memainkan peranan yang sangat penting dalam keseimbangan kehidupan. Bahkan, menurut Kajian oleh Klein dan Boals (2001), keupayaan seseorang dewasa yang mula menulis tentang peristiwa penting dalam kehidupan akan meningkatkan keupayaan ingatan mereka dengan lebih baik. Merujuk pula kajian yang dijalankan oleh American Psychiatrist Association (APA), menunjukkan bahawa menulis boleh membantu menghilangkan tekanan dengan memerangi pemikiran-pemikiran negatif yang mengganggu. Selain itu, didapati dengan aktiviti menulis pengalaman pahit dalam kehidupan dapat membantu seseorang merungkai emosi tidak sihat dengan menukar perspektif tersebut kepada yang lebih baik. Lanjutan daripada kajian tersebut juga mendapati bahawa menulis dapat meningkatkan daya ingatan kerja, yang boleh mencegah daripada keletihan melampau.
Penulisan jurnal mampu melegakan tekanan serta berupaya meningkatkan kecerdasan emosi. Biasanya apabila mula menulis, seseorang akan bergelut untuk mencari perkataan bagi menerangkan perasaan mereka, atau apa yang mereka fikirkan. Oleh itu, latihan penulisan jurnal boleh membantu mereka mencari perkataan yang paling sesuai dan belajar untuk menerima emosi mereka. Konsep penerimaan ini dapat membantu seseorang jelas dengan apa yang diinginkan dan apa yang ingin dicapai dalam kehidupan selain dapat meningkatkan kesejahteraan emosi.
Melalui faedah-faedah menulis yang dikongsikan, menunjukkan bahawa aktiviti menulis sangat membantu seseorang dalam kesejahteraan emosi dan mental. Oleh itu, jadikan aktiviti menulis ini sebagai rutin dalam mengekspresi emosi dan pemikiran sebagai salah satu latihan kecerdasan dan kesihatan diri kita.
Rujukan :
Calmer (2021). Benefits of writing for depression, anxiety, and stress. https://www.thisiscalmer.com/blog/benefits-of-writing-for-depression-anxiety-stress#:~:text=Writing%20and%20depression%2C%20stress%2C%20or,even%20boost%20our%20physical%20health.
Tarikh Input: 30/05/2025 | Kemaskini: 31/05/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia