KAUNSELOR, BETUL KE : Saya Ada ADHD? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KAUNSELOR, BETUL KE : Saya ada ADHD?

KAUNSELOR, BETUL KE : Saya ada ADHD?

Oleh : Puan Kamariah binti Derasol K.B.;P.A.

“Puan, sejak kebelakangan ini saya makin sudah nak fokus. Adakah saya ada ADHD?”

Soalan ini sering ditanyakan oleh klien kepada kaunselor di Bahagian Kaunseling.

Malahan, ada juga klien yang terus membuat kesimpulan selepas membaca dan melihat perkongsian di media sosial seperti di Instagram dan Tiktok.

ADHD ataupun Attention Deficit Hyperactivity Disorder merupakan sejenis penyakit mental yang boleh menyebabkan tahap tingkah laku hiperaktif dan impulsif yang tinggi kepada penghidapnya. Pesakit ADHD juga sukar untuk menumpukan perhatian terhadap tugas atau tidak boleh duduk diam untuk tempoh yang lama.

Ada juga individu yang mempunyai simptom ADHD yang hanya ketara di usia dewasa. Semasa di usia muda, simptom yang dialami dilalui tanpa diberi perhatian oleh penjaga. Bagi mereka yang mendapat diagnosis dan rawatan di awal usia, ianya adalah baik kerana pendidikan inklusif dapat diberikan sebaik mungkin. Namun begitu, apabila ADHD dikesan di awal dewasa, penyesuaian pembelajaran dan cara kerja boleh dilakukan agar tetap boleh berfungsi dengan produktif.

Dengan perkembangan media sosial kini, lebih ramai mendapat maklumat ciri-ciri ADHD dan mula membandingkan ciri-ciri tersebut dengan diri sendiri. Antara ciri-ciri umum ADHD dewasa termasuklah :

  1. Kesukaran fokus di dalam tugas yang memerlukan tumpuan jangka masa lama kesannya tugas tidak selesai, lambat selesai atau hasilnya tidak berkualiti.
  2. Masalah perhubungan kerana sukar beri tumpuan semasa berkomunikasi
  3. Sukar membuat keutamaan dalam tugasan yang perlu diberi tumpuan
  4. Mudah gelisah dan cemas
  5. Bertindak secara impulsif, spontan.
  6. Masalah mengurus masa
  7. Mudah terlupa
  8. Kurang sabar menunggu termasuk di dalam kesesakan jalan raya.

Walaupun anda mempunyai beberapa tanda – tanda seperti di atas, jangan membuat kesimpulan dahulu. Jumpalah kaunselor untuk membantu anda untuk proses selanjutnya. Selain itu, boleh juga berjumpa doktor untuk diagnosis dan rawatan. Yang pentingnya, beri maklumat lengkap mengenai sejak berapa lama menghidap simptom ini dan sejauh mana kehidupan anda terganggu.
Perlu diingatkan bahawa, ada juga simptom seperti mudah lupa, sukar fokus bukanlah penentu anda menghidapi ADHD. Ianya turut dihadapi oleh individu yang sedang di dalam stres. Kerana itu, penting dapatkan bantuan profesional agar tidak membuat diagnosis sendiri.

Tarikh Input: 31/01/2025 | Kemaskini: 31/01/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (02:17:02pm-02:22:02pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]