Kelebihan Simpanan Emas | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Kelebihan Simpanan Emas

Kelebihan Simpanan Emas

Oleh : Mohamad Ashaari bin Awab K.B.; P.A.

Emas telah digunakan sejak daripada zaman dahulu, seawal zaman pra-sejarah lagi. Emas juga telah dilaporkan dalam beberapa dokumen-dokumen lama yang menyatakan emas digunakan sebagai barang hiasan.
Selain digunakan sebagai hiasan, emas telah lama dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah. Emas telah digunakan sebagai simbol ketulenan, nilai tinggi, kedaulatan, dan lebih-lebih lagi peranan yang mengaitkan sifat-sifat tersebut.
Kini, emas juga menjadi pilihan sebagai simpanan untuk pelaburan jangka Panjang. Menerusi perkongsian ini, penulis ingin berkongsi enam kelebihan menjadikan emas sebagai simpanan.

1. KESTABILAN NILAI EMAS
Emas dikenali sebagai aset yang bertahan lama di pasaran global. Inilah kelebihan utama simpanan emas di Malaysia, kerana walaupun harga turun naik, emas kekal sebagai aset yang stabil dan mempunyai nilai intrinsik yang tinggi.

2. SELAMAT DAN MUDAH DISIMPAN
Simpanan emas di Malaysia adalah selamat dan mudah disimpan kerana terdapat institusi yang diiktiraf dan dipercayai yang menyediakan simpanan emas yang selamat dan tersedia di seluruh Malaysia.

3. PELABURAN JANGKA PANJANG
Simpanan emas di Malaysia juga boleh menjadi pelaburan jangka panjang. Sebagai contoh, pada tahun 2000. M.nasir salah seorang artis popular yang menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin ketika bernikah dengan Marlia Musa. Mas kahwin mereka ialah 13 dinar emas yang mana nilai 1 dinar emas pada ketika itu hanya RM153.00. 13 keping wang dinar emas tersebut bernilai RM2000. Jika kita membuat pengiraan mudah, pada Ogos 2000 nilai 1 dinar emas bersamaan RM153.00, dan kini pada Mac 2023 1 dinar emas (4.25 gram emas 999) bernilai RM1138.00 (setelah ditolak 9% spread). Ini membuktikan, emas boleh dijadikan pelaburan jangka panjang yang mempunyai potensi keuntungan yang tinggi.

4. MUDAH DIJUAL
Simpanan emas di Malaysia mudah dijual semula di pasaran dan terdapat ramai penjual dan pembeli emas yang aktif. Terdapat juga syarikat-syarikat pengeluar emas yang diiktriraf seperti Public Gold, Maybank dan Yapeim Gold yang menyediakan platform jual beli emas yang selamat dan dilindungi insurans.

5. KALIS INFLASI
Emas tidak terjejas oleh krisis kewangan atau ketidakstabilan ekonomi, jadi ia boleh menjadi jaminan untuk keselamatan kewangan anda dalam ekonomi yang tidak stabil. Emas juga dikenali sebagai kalis inflasi. Sebagai contoh nisbah 1 ekor kambing dan 1 dinar (4.25 gram emas 999) boleh dikatakan kekal sejak 1400 tahun dulu sampai sekarang. Dengan emas 1 dinar hari ini, kita masih mampu dan munasabah untuk membeli seekor kambing walaupun kambing ada banyak jenis dan saiznya.

Kesimpulannya, emas merupakan salah satu jenis simpanan dan pelaburan jangka panjang yang baik. Walaubagaimanapun, penulis ingin berpesan kepada semua pembaca yang ingin memulakan simpanan emas untuk mendalami ilmu berkaitan simpanan emas terlebih dahulu untuk memastikan kita tidak terjerat dengan skim cepat kaya atau penipuan yang menggunanakan “nama” emas untuk memperdayakan anda.

Tarikh Input: 27/02/2024 | Kemaskini: 27/02/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEbXA7~