Keluarga Bahagia, Hati Tenang | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Keluarga Bahagia, Hati Tenang

Keluarga Bahagia, Hati Tenang

Oleh : Pn. Wan Azurani Wan Ahmad

 

Saya bawakan pembaca kepada suatu kisah. Semoga kisah ini dijadikan iktibar dan teladan dalam mendepani hidup, baik diri sebagai anak, ibubapa, mahupun rakan taulan atau sesiapa jua kita.

Kisah ini berlaku 20an tahun yang lalu. Adila (bukan nama sebenar) kehilangan seorang ayah apabila ibubapanya bercerai. Dia ditinggalkan bersama ibu. Hilanglah kasih sayang seorang ayah. Sudah tidak sempurna keluarga itu. Diusia kanak-kanak, Adila kehilangan pula ibu tercinta akibat sakit. Dia kemudian dijaga oleh datuk dan nenek serta membesar di dalam keluarga besar bersama ibu dan bapa saudara.

Setelah sekian lama tiada ibu, tanpa juga seorang ayah, Adila tidak mengenal erti kasih dan sayang seorang ibu dan ayah. Tidak seperti kawan-kawan yang lain. Malah ayahnya tidak pernah muncul. Wajah ayahnya juga tidak lagi diingati. Semuanya ditempuhi Adila dengan perit, tapi dia tetap tabah dan tenang. Di kala usia remaja, jiwanya kerap dihujani perbagai persoalan. Pelbagai tekateki kerap muncul. Adila sedar, usia remaja, usia yang penuh caba-ran. Pelbagai masalah dihadapi. Emosinya kerap terganggu. Mujurlah, Allah berikannya kekuatan, rakan-rakan yang baik serta sokongan kuat keluarga. Dirinya tidak terjebak dengan anasir negatif. Tatkala usia Adila menjejak lewat 20an, si ayah muncul kembali. Apa yang anda rasa sekiranya situasi ini terjadi pa-da diri kita sendiri? Adakah pendaman rasa puluhan tahun ini berkekalan menjadi konflik berpanjangan antara anak dan bapa? Alhamdulillah Adila tenang menerima si ayah. Mungkin ayah telah sedar akan kekhil-afan diri. Mungkin ini terbaik bagi dirinya. Walaupun ada kekesalan di hati Adila, dia tetap redha dan tenang. Adila sambut ayahnya yang telah kembali ke dalam hidupnya dengan tenang. Adila terima hakikat hidup. Andai Adila tidak mengalah, menjunjung ego, mencari salah, sudah pasti konflik anak dan bapa ini akan terus berpanjangan.

Hidup ini hanyalah persinggahan. Konflik terjadi apabila ada perbezaan pendapat antara dua pihak. Konflik boleh berlaku secara langsung atau mungkin juga membawa kepada pendaman dalaman. Sekiranya perbezaan pendapat tidak diurus dengan baik, konflik yang terjadi kadangkala boleh merosakkan hubungan. Dan juga boleh memberi tempias kepada orang lain. Sebagai anak, ibu bapa, atau sesiapa sahaja, kadangkala mengalah boleh meredakan konflik. Tidak semestinya mengalah itu kalah. Gaya komunikasi dan interaksi yang sihat, mengurangkan jurang kebarangkalian konflik berlaku. Ego dan keangkuhan pula punca imarahnya konflik.

Konflik dengan ibubapa seringkali dialami oleh remaja. Antara faktor utama adalah usia remaja sendiri. Di usia remaja, seseorang itu akan mengalami pelbagai perubahan samada fizikal, emosi dan sosial. Ianya akan memberikan kesan ketidakseimbangan emosi kepada remaja, yang mana boleh menimbulkan pel-bagai gaya masalah. Antaranya ialah, keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri, sering merasa diri disalah erti, merasa diri dilayan tidak adil, kesunyian, sukar memahami emosi, susah membuat keputusan, mencari identiti diri dan banyak lagi. Remaja dan ibu bapa sering bercanggah dari segi nilai, sikap dan tingkahlaku. Mungkin jurang generasi di antara kedua-dua pihak mempengaruhi persepsi, pemikiran dan nilai yang berbeza. Sebagai contoh, ibubapa memberikan pelbagai pantang larang dan nasihat, dengan tujuan untuk menjaga si anak, dalam masa yang sama persepsi anak mengatakan bahawa ibubapanya sedang mengongkong, tidak memahami kehendak mereka.

Kadangkala ibubapa itu benar. Kadangkala pandangan dan pendapat anak ada betulnya. Justeru, di dalam institusi kekeluargaan ‘give and take’ sangat perlu. Redakan emosi. Berkasih sayanglah.Dalam apa juga situasi, kewangan, hal pelajaran, pergaulan dan sebagainya, raikan pandangan dan pendapat semua ahli dalam keluarga.

Dan semestilah ibu dan bapa sebagai ‘role model’ kepada anak-anak. Ibu bapalah contoh pertama anak-anak. Guru terbaik adalah ibubapa. Duhai ibubapa, berikanlah contoh yang terbaik, kerana acuan yang baik menghasilkan bekas yang cantik.

 

"Artikel ini dipetik daripada buku 170 Kata-kata Mendorong Menjadi Pelajar Hebat."

 

Jom ikuti petua untuk menjadi Keluarga Bahagia.

 

 

Tarikh Input: 21/01/2021 | Kemaskini: 24/08/2021 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEYTA1~