KENAPA PASANGAN BERUBAH SELEPAS BERKAHWIN? : REAL SELF VS IDEAL SELF | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KENAPA PASANGAN BERUBAH SELEPAS BERKAHWIN? : REAL SELF VS IDEAL SELF

KENAPA PASANGAN BERUBAH SELEPAS BERKAHWIN? : REAL SELF VS IDEAL SELF

Penulis : En. Mohd Redzuan Zamberi K.B,P.A

Kenapa ketika bercinta lain, setelah berkahwin lain? Persoalan ini buat pasangan runsing dan krisis atas perbezaan ketara ini. Bagi yang belum berkahwin tentu perasaan risau bermain di minda. Apapun saya akan bongkarkan kenapa dan bagaimana untuk kembali harmoni. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Bagi mereka yang belum berkahwin boleh ambil iktibar dari kisah ini. Majoriti pembaca akan bersetuju perkara ini terutamanya kaum HAWA.

Lelaki sebelum berkahwin sungguh ‘caring’, romantik, ayat ‘power’, penyayang dan Mr. Perfect 10. Tetapi apabila berkahwin mereka tidak sedemikian, mengapa? Wanita sebelum berkahwin sungguh lembut, sopan santun, patuh dan akur serta cantik, berbadan langsing persis model. Namun apabila sudah berkahwin jadi kasar, kuat membebel, moody, suka mengarah, tak cantik seperti dulu, badan sudah lari “alignment” dengan alasan sudah bersalin anak.

Mengapa semua pertanyaan di atas terjadi? Mengapa boleh kedua jantina ini berubah? Ada benar dan ada sebab tertentu mengapa lelaki berubah? Dari romantik, ayat “chia-chia” yang hebat, tetapi apabila berkahwin mahu luahkan “I love u” pun susah. Dulu bercinta suka buat kejutan, bila sudah berkahwin, hadiah coklat Cadbury pun susah mahu beri.

Jawapannya adalah lelaki semasa bercinta tenaga dan tumpuannya adalah untuk memikat hati wanita untuk berkahwin dengannya. Lelaki ini kebanyakannya lambat matang berbanding wanita. Majoriti lelaki matang selepas umur 40 tahun, iaitu mencapai kematangan penuh. Ada yang awal sebab pengalaman hidup. Tetapi kebanyakannya umur 20 tahun itu wanita lagi matang dan bijak dari lelaki.

Bijak dan matang berbeza maknanya. Ada lelaki yang bijak, kaki buku, suka berfikir tetapi belum ada pengalaman hidup sebenar. Kematangan adalah kebolehan berfikir dan bertindak menjangkau kemahuan pasangan. Ia dinamakan kematangan emosi dan tingkah laku. Misalnya seseorang lelaki berfikir dahulu ayat yang sesuai untuk diungkap kepada pasangannya sebelum berbicara agar komunikasi yang terhasil sentiasa harmoni. Namun sekiranya berlaku kesilapan semasa berbicara, lelaki tersebut cepat meminta maaf sebelum wanita itu merajuk dan terasa hati. Tindakan ini dinamakan kematangan, kerana tidak perlu diminta oleh pasangan, individu untuk bertindak dahulu untuk menyelesaikan krisis atau mengelak krisis.
Walaupun wanita boleh berfikir dengan bijak menjangkaui fikiran lelaki dalam soal hubungan, tetapi wanita sering gagal mengawal emosinya seperti cemburu, marah, sensitif hingga apa yang difikirkan, tidak seperti apa yang ditonjolkan dalam perhubungan.

Lelaki memang bijak merancang dalam jangka masa pendek. Matlamat mereka adalah untuk memikat dan kemudian berkahwin. Oleh itu, mereka akan menggunakan sepenuh tenaga dan kekuatan lidahnya berbicara. Apabila tercapai hasrat lelaki tidak merancang dalam jangka masa panjang mengenai strategi jika isteri merajuk. Semua ini tiada dalam perancangan mereka.

Wanita akan hairan mana pergi pujangga cinta itu pergi? Selepas berkahwin, lelaki lebih menumpukan tenaganya bukan pada lidahnya lagi. Bagi seorang lelaki, bila dah berjaya berkahwin dengan permaisuri hatinya, dia bukan lagi pujangga cinta sebaliknya Pejuang Wanita. Mereka memikirkan nasib, rezeki, duit, harta benda untuk memberi kebahagiaan kepada isterinya.
Dalam psikologi, ada Real Self (dirinya yang sebenar) dan Ideal Self (dirinya yang diidamkan). Mustahil setelah ia kekal dan selesa dengan dirinya selama 25 tahun, setelah berkahwin ketika umurnya 25 tahun, adakah isteri itu mudah membentuk personaliti baru yang secocok dengan dirinya.

Mengapa lelaki sebelum kahwin berbeza sedikit berbanding selepas kahwin? Jawapannya semasa bercinta lelaki itu bertukar personalitinya kepada Ideal Self. Lelaki mencipta personaliti baru (Ideal Self) semata-mata untuk memikat hati si Dara Pujaan hatinya. Semasa bercinta lelaki selalu tanya si gadis apa yang dia suka, makanan dan minuman kesukaan, hobi, warna dan pelbagai lagi untuk memikat wanita idamannya. Bermakna itu bukan dirinya yang sebenar. Lelaki yang sebenar ada ego dan tidak mudah untuk membentuk dirinya sekelip mata.

Bila berkahwin lelaki kembali menjadi dirinya (Real Self) di mana isteri tidak boleh sewenang-wenangnya membentuk dirinya, perlu hormat dirinya sebagai lelaki dan ketua keluarga. Wanita berubah selepas kahwin disebabkan emosinya. walaupun dia jauh matang, jauh lebih bijak, tetapi dia akan kalah dengan emosinya. Itulah kelemahan kaum Hawa. Lelaki tidak perlu menjadi bijak untuk menang dalam perdebatan dengan wanita. Tidak perlu petah berkata-kata atau ada banyak fakta untuk tundukkan kata-kata wanita.

Jadi lelaki perlu matang dalam memenangi hati wanita. Jadilah pujangga cinta dalam masa yang sama pejuang wanita. Banyakkan mendengar sesekali gunakan kekuatan arjuna untuk bicara cinta dengan si dara jelita anda, buat dia cair kembali. Jaga peranan masing-masing. Bijak dan matang. Jangan tenggelam dengan permainan emosi berpanjangan. Ia amat merugikan. berkorbanlah demi kebaikan bersama.

Tarikh Input: 31/01/2024 | Kemaskini: 31/01/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdBAD~