Oleh : Cik Nur Syahida Wirduna binti Zulkifly

Memilih kerjaya berdasarkan minat adalah impian bagi ramai individu kerana mampu memberikan kepuasan peribadi yang sangat tinggi. Bahkan, bekerja dalam bidang yang diminati juga mampu membolehkan seseorang merasa lebih bersemangat dan teruja untuk menjalani kehidupan profesional mereka. Namun, secara realiti memilih kerjaya berasaskan minat adalah tidak semudah seperti yang disangka lebih-lebih lagi pada masa kini. Terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan selain mengutamakan minat iaitu kestabilan kewangan, peluang pekerjaan dan permintaan pasaran.
Minat memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kepuasan kerja seseorang. Apabila seseorang bekerja dalam bidang yang mereka minati, mereka akan lebih cenderung untuk lebih berdedikasi dan bersemangat dalam melakukan tugasan harian. Hal ini juga akan mendorong individu untuk terus belajar dan mengasah kemahiran mereka sekali gus meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai minat dalam bidang seni akan lebih teruja untuk menghasilkan karya seni yang berkualiti dan lebih kreatif berbanding jika mereka bekerja dalam bidang yang kurang diminati.
Namun, realiti pasaran pekerjaan sering kali berbeza dengan keinginan peribadi. Tidak semua minat dapat dijadikan sebagai satu kerjaya yang menguntungkan atau pekerjaan yang stabil. Oleh sebab itu, ramai individu yang terpaksa memilih kerjaya yang lebih praktikal dan menjamin kestabilan kewangan walaupun ia tidak bertepatan sepenuhnya dengan minat mereka. Bidang seperti perakaunan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat sering kali menjadi pilihan utama kerana menawarkan peluang pekerjaan yang banyak serta gaji yang tinggi. Dalam situasi ini, adalah penting untuk seseorang menilai semula keseimbangan antara minat dan keperluan pasaran pekerjaan.
Kesimpulannya, memilih kerjaya berdasarkan minat adalah satu keputusan yang ideal, namun ia perlu diimbangi dengan realiti pasaran kerja yang ada. Individu yang bijak akan mencari cara untuk menggabungkan kedua-dua elemen ini sama ada dengan menjadikan minat sebagai aktiviti sampingan atau mencari kerjaya yang dapat memberikan kepuasan dalam jangka panjang sambil memastikan kestabilan kewangan.
Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia