KERJAYA PILIHAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KERJAYA PILIHAN

KERJAYA PILIHAN

Penulis : Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B,P.A

Mengikut teori perkembangan kerjaya Super peringkat perkembangan kerjaya individu terbahagi kepada lima (5) peringkat. Bermula dengan peringkat ‘Pertumbuhan’ (0-14 tahun), peringkat ‘Penerokaan’ (15-24 tahun), peringkat ‘Pengukuhan’ (25-44 tahun), peringkat ‘Pengekalan’ (45-64) dan peringkat ‘Penurunan’ (65 tahun ke atas).


Begitu juga di Malaysia, pendedahan kerjaya telah diterapkan seawal usia kanak-kanak lagi. Individu pertama yang memberikan pendedahan adalah ibu bapa atau keluarga individu itu sendiri. Di peringkat pertumbuhan, semasa individu di sekolah rendah, guru-guru atau kaunselor sekolah juga bertanggungjawab memberikan pendedahan tentang kerjaya selain ibu bapa.


Pada peringkat sekolah rendah, individu cenderung memerhati dan meminati individu dengan pekerjaan yang mereka lihat atau di kalangan keluarga terdekat. Tidak hairanlah kerja-kerja atau profesyen yang biasa disebut oleh kanak-kanak hanya tertumpu kepada kerjaya yang dekat dengan mereka.


Meningkat ke alam dewasa, peringkat ‘penerokaan’, iaitu peringkat menengah atas sehingga ke alam universiti, pendedahan kepada kerjaya-kerjaya yang ada khususnya di Malaysia lebih meluas. Semasa di menengah atas lagi, individu diberi pilihan untuk memilih aliran mereka mengikut minat, kecenderungan dan pencapaian akademik. Aliran-aliran ini adalah asas bagi pemilihan kerjaya di peringkat universiti seterusnya individu akan memasuki laluan dan haluan kerjaya berteraskan bidang akademik yang mereka pelajari.


Namun tidak semua yang akan kekal di kerjaya mengikut haluan atau laluan di peringkat universiti. Ramai ibu bapa teruja untuk menentukan halatuju kerjaya anak masing-masing. Bahkan ramai juga ibu bapa teruja mencorak anak anak mereka memilih kerjaya-kerjaya professional yang kadang kala langsung tidak digemari oleh individu tersebut.


Apakah sebenarnya ‘KERJAYA PILIHAN’ yang TERBAIK? Jawapannya tidak ada kerjaya yang terbaik, tetapi ianya adalah kerjaya apa yang paling sesuai, diminati, dan memberi kepuasan kepada individu tersebut.


Oleh yang demikian, bagi setiap individu, buatlah pemilihan yang sebaik-baiknya agar kerjaya yang anda ceburi adalah yang terbaik buat diri anda sendiri dan dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Tarikh Input: 31/05/2023 | Kemaskini: 31/05/2023 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEdAAZ~