Oleh: Puan Kamariah binti Derasol K.B.;P.A.
“Awak penagih ke?”
“Eh, taklah!”
“Habis tu, kenapa siang - malam tangan asyik melekat dengan handphone je?”
Ramai orang tidak sedar mempunyai masalah ketagihan gajet. Antara tandanya adalah gelisah apabila tiada gajet, kehabisan data atau bateri. Terlalu sensitif kepada notifikasi telefon, meluangkan banyak masa untuk menggunakan telefon, makan sambil ditemani oleh telefon. Selain itu, ada juga yang menonton reels atau video tanpa menyedari masa berlalu.
Kesan daripada ketagihan ini boleh menyebabkan tekanan peribadi, kemerosotan tumpuan dalam pelajaran atau kerja, gangguan tidur, masalah perhubungan, ketegangan saraf mata dan leher dan banyak lagi.
Anda boleh membantu diri untuk tidak dibelenggu dengan ketagihan gajet dengan tips berikut :
Kenalpasti tabiat dan ketagihan
Sangat penting untuk sedar keadaan diri yang terlalu bergantung kepada gajet. Proses seterusnya adalah merekodkan masa menggunakan gajet, kebiasaan tertinggu menggunakan gajet. Adakah sebelah pagi, petang, malam? Sambil melakukan aktiviti tertentu? Boleh juga menggunakan aplikasi dalam telefon untuk memeriksa masa skrin digunakan setiap hari (screen time).
Fahami motif menggunakan gajet
Tanyakan diri sendiri, “adakah aku menggunakan gajet ini untuk berhibur? Melepaskan tekanan? Mendapatkan maklumat? Sekadar meluangkan masa? Nak tahu apa status orang lain? Apabila kita menyedari motif penggunaan gajet, ianya memberi kesedaran diri semasa menggunakannya. Selepas itu, susuli dengan soalan pada diri
“Adakah ini berbaloi?”?
“Adakah ada aktiviti lain yang boleh dibuat pada masa ini?”
“Adakah ada sebenarnya kerja/tugas lain yang perlu saya lakukan?
Tentukan batasan masa
Anda berkuasa sepenuhnya kepada apa yang anda pegang dan lihat.Tentukan batasan masa agar aktiviti gajet tidak menganggu kerja atau tugas akademik yang perlu dibuat. Sebaiknya, peruntukkan masa untuk berhibur dengan telefon selepas semua tugas siap.
Ikut jadual yang ditetapkan
Untuk disiplinkan diri, boleh tentukan masa menggunakan jadual dan penggera agar batasan masa dipatuhi.
Gantikan gajet dengan aktiviti lain
Alihkan perhatian kepada gajet dengan melakukan aktiviti lain, contohnya berjogging, kraf tangan, memasak tanpa menggunakan telefon untuk menonton video atau mendengar lagu.
Aktiviti ini sebaiknya aktiviti yang boleh memberi kegembiraan dan kepuasan diri.
Beri ganjaran sesuai
Beilah ganjaran kepada diri selepas Berjaya mengurangkan masa skrin dan pergantungan kepada gajet. Secara tidak lansung ianya meransang motivasi untuk terus melakukan perubahan positif.

Tarikh Input: 30/08/2024 | Kemaskini: 30/08/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia