KOMUNIKASI PERKAHWINAN NON-VERBAL (SELT) | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » KOMUNIKASI PERKAHWINAN NON-VERBAL (SELT)

KOMUNIKASI PERKAHWINAN NON-VERBAL (SELT)

Oleh : Encik Mohd Redzuan bin Zamberi K.B.;P.A.

Komunikasi non-verbal ini nampak mudah tetapi memberi kesan yang sangat mendalam kepada jiwa pasangan. Dalam psikologi perkahwinan, elemen kecil seperti senyuman, renungan mata, fokus mendengar dan sentuhan mesra adalah asas untuk membina rasa kepercayaan dan keselamatan emosi. Ramai pasangan yang terjebak dengan konflik kerana hanya memberi perhatian pada kata-kata, sedangkan bahasa tubuh jauh lebih jujur dalam menyampaikan kasih sayang.

Sebagai contoh, selepas seharian penat bekerja, seorang suami yang disambut dengan senyuman dan pelukan isteri akan berasa lega dan dihargai walaupun tiada kata-kata diucapkan. Begitu juga seorang isteri yang sedang berkongsi rasa susah hati, akan berasa tenang apabila suami mendengar dengan penuh fokus sambil menggenggam tangannya. Walaupun ringkas, tanda non-verbal itu sudah cukup untuk merawat luka hati dan menguatkan semula ikatan kasih.

Berikut adalah perincian S E L T :

S - Smile

Pasangan perlu berikan senyuman paling indah semasa berkomunikasi. Senyuman yang manis akan buatkan pasangan rasa tertarik dan buatkan dirinya rasa dihargai dan dicintai. Jangan terlalu serius semasa berkomunikasi dengan pasangan. Walaupun berbicara topik yang serius atau sedih, tak salah jika pasangan yang mendengar untuk menghadiahkan senyuman sebagai penawar kedukaan.

E - Eye Contact

Semasa berkomunikasi penting untuk mengekalkan kontak mata agar pasangan rasa ceritanya didengari dengan penuh minat. Elakkan melihat telefon bimbit atau objek disekeliling semasa berbicara. Gangguan ini buatkan pasangan rasa luahannya tidak didengari sepenuhnya dan topiknya membosankan. 

L - Listening

Tumpukan perbualan dengan pasangan dengan fokus. Kemahiran mendengar memerlukan reaksi merespon, mengangguk dan peka kepada perasaan klien. Bila pasangan sedih, reaksi pasangan yang mendengar turut merasa perasaan yang sama. Respon pasangan untuk memahami lagi cerita pasangan seperti bertanya menunjukkan pasangan peka dan fokus. 

T - Touching

Semasa berbicara, sentuhan tangan, belaian jari jemari dan rapatkan badan untuk lebih mendengar merupakan reaksi non-verbal yang buatkan pasangan rasa lebih selesa dan seronok berbicara kerana adanya aliran kasih sayang dan tercinta yang teralir melalui sentuhan. Pelukan juga adalah sentuhan menakjubkan apabila pasangan terlalu sedih yang memerlukan dokongan emosi.

 

Kesimpulannya, komunikasi non-verbal bukan sekadar pelengkap kepada komunikasi lisan, malah ia adalah bahasa cinta yang lebih dalam maknanya. Senyuman, eye contact, fokus mendengar dan sentuhan adalah kunci untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga. Jika diamalkan secara konsisten, ia mampu menjadikan perkahwinan lebih mesra, romantik dan penuh rasa dihargai sepanjang masa.

Tarikh Input: 25/08/2025 | Kemaskini: 25/08/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (05:13:42pm-05:18:42pm, 01 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]