Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
Apa khabar KOTAK awak? Ya, awak memang memiliki KOTAK diri awak. Awaklah yang bertanggung jawab dengan kotak yang awak miliki. Tiada sesiapa yang mampu mencuri KOTAK awak tanpa keizinan awak. Awak tahu? Kotak awak punyai dinding dan ruang. Penghadang antara diri awak dan anasir luar dipisahkan melalui dinding kotak. Ianya boleh jadi dinding yang sangat kuat atau pun sebaliknya. Ruang-ruang dalam KOTAK awak yang diisi dengan persepsi, nilai, pemikiran, emosi dan kepercayaan spiritual awak. Awak sudah selidiki keadaan KOTAK awak?
PENGUASAAN KOTAK DIRI
Ada sesetengah orang, kotaknya dikawal ketat oleh orang sekeliling. Ada orang yang mengawal apa yang perlu diisi dalam kotak istimewa tersebut. Alam kanak-kanak merupakan tempoh di mana mereka mula dididik dengan nilai-nilai agama, tanggungjawab, nilai-nilai murni serta pembentukan akhlak yang baik. Kotak mereka sangat rapuh pada waktu itu. Dinding KOTAK mereka bagaikan span lembut yang akan menyerap apa sahaja yang datang kepadanya sama ada baik ataupun buruk. Ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling yang berperanan mencorakkan KOTAK mereka.
Menginjak usia remaja, dinding KOTAK menjadi semakin mengeras. Fasa ini, remaja sangat sibuk mencari identiti diri. Pembentukan nilai peribadi dan akhlak menjadi semakin ketara. Tempoh ini, remaja belajar menapis perkara yang perlu dan tidak perlu untuk diserap ke dalam KOTAK diri. Pemberontakan pemikiran dan emosi mula dilihat apabila kemahuannya dinafikan. KOTAK diri seorang remaja yang ingin menguasai segalanya namun cetek pengalaman dan ilmunya. Oleh itu, ibu bapa disaran untuk memberi peluang kepada mereka untuk perlahan-lahan berdikari dengan sedikit bimbingan dan tunjuk ajar. KOTAK remaja akan lebih kuat dan kukuh apabila mereka diberikan kepercayaan, toleransi dan sokongan emosi. KOTAK remaja yang dibiarkan tanpa panduan dan sokongan, sedikit sebanyak menggoyahkan pembentukan konsep kendiri mereka apabila dewasa kelak.
Apabila mengharungi alam dewasa yang masih terkepung dengan ideologi, DIRINYA DIPUNYAI OLEH ORANG LAIN akan mengganggu pembentukan konsep kendiri mereka. Rasa tidak yakin akan kemampuan diri menyebabkan dirinya lemah, tidak berdaya dan bergantung sepenuhnya kepada ORANG LAIN untuk hidup. Dinding KOTAK diri semakin menebal namun kosong kondisinya. Menjadi dewasa yang ideal, bukanlah bermakna tidak boleh melakukan kesilapan tetapi dilihat sebagai seseorang yang yakin dengan kemampuan dirinya, boleh mengatur kehidupannya, membuat keputusan untuk dirinya dan mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan yang datang. KOTAK dewasa juga boleh jadi rapuh apabila tidak dibajai dengan ilmu yang baik dan kematangan. Ilmu boleh dicari tetapi kematangan akan hadir dengan keupayaan seseorang menghadapi ujian dan dugaan dalam kehidupan.
Oleh itu, pandanglah KOTAK diri masing-masing. Nilai dan pertimbangkan sebaiknya. Adakah KOTAK diri kita sudah kukuh? Di mana yang boleh diperbaiki agar KOTAK diri kita menjadi anjal, tidak mudah terhakis oleh anasir-anasir negatif yang datang menyapa. Tidak pernah terlewat untuk kita belajar tentang diri sendiri sekaligus menguatkan KOTAK diri kita. Jadi, KOTAK awak okay tak?
Tarikh Input: 30/09/2024 | Kemaskini: 30/09/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia