Oleh : Encik Mohamad Ashaari bin Awab K.B.;P.A.
Kos sara hidup sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi semasa negara dan dunia. Pengurusan kewangan yang cekap dan sistematik amat penting dan perlu diamalkan oleh setiap individu bagi memastikan sumber kewangan yang dimiliki tidak digunakan untuk perkara perkara yang tidak bermanfaat dan tidak berfaedah. Persoalannya, adakah mahasiswa juga perlu bijak dalam mengurus kewangan mereka?. Jawapannya ‘Ya’, mahasiswa perlu bijak menguruskan wang mereka kerana kemahiran pengurusan kewangan yang baik adalah aspek penting dalam kehidupan mereka. Berikut adalah beberapa sebab mengapa mahasiswa perlu bijak dalam menguruskan wang mereka:
Mahasiswa yang memahami dan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik akan membina prinsip yang kukuh untuk kewangan mereka pada masa hadapan. Ini termasuk kemahiran mengurus perbelanjaan, menyimpan, melabur dan mengurangkan hutang.
Selain itu, dengan menguruskan kewangan dengan bijak, mahasiswa boleh mengurangkan tekanan kewangan yang mungkin mereka hadapi semasa pengajian mereka. Ini membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan mencapai matlamat akademik mereka tanpa terlalu terganggu dengan masalah kewangan.
Ketiga, Mahasiswa perlu memahami risiko hutang yang berlebihan dan belajar untuk mengelakkan hutang yang tidak perlu. Ini melibatkan membuat keputusan yang bijak tentang cara menggunakan pinjaman pelajaran atau biasiswa, menggunakan kad kredit dengan bijak, dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan terutama kepada perkara-perkara bukan keperluan.
Pengurusan kewangan yang baik semasa tempoh pengajian juga pasti akan membantu mahasiswa membuat persediaan untuk kehidupan selepas tamat pengajian. Mereka boleh menyimpan untuk keperluan kecemasan, merancang matlamat kewangan selepas menamatkan pengajian mereka, dan merancang untuk membayar hutang pelajaran seperti PTPTN, MARA dan sebagainya.
Selain itu, mahasiswa juga perlu belajar menetapkan matlamat simpanan yang spesifik seperti dana kecemasan, tabung perkahwinan, simpanan pendidikan dan tabung persaraan. Ia amat penting untuk memastikan mereka tidak tergolong dalam statistik rakyat Malaysia yang gagal menyimpan kerana terpaksa membuat hutang untuk perkara-perkara kecemasan, berkahwin dan yang paling ditakuti adalah terpaksa bekerja pada umur persaraan semata-mata untuk membayar hutang yang masih berbaki.
Seterusnya, mahasiswa yang menguasai kemahiran pengurusan kewangan akan mempunyai lebih kawalan ke atas kehidupan mereka. Mereka boleh membuat keputusan yang lebih bebas dan berjaya untuk mencapai matlamat kewangan mereka, seperti berkahwin, membeli rumah, melancong atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Kesimpulannya, kemahiran mengurus kewangan merupakan aspek penting dalam kehidupan seorang mahasiswa dan perlu dititikberatkan sebagai sebahagian daripada pendidikan mereka. Dengan ilmu dan tindakan mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak, mahasiswa boleh membina asas yang kukuh untuk kestabilan kewangan pada masa hadapan.
Tarikh Input: 30/10/2024 | Kemaskini: 30/10/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia