Membina Ketahanan Mental | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Membina Ketahanan Mental

Membina Ketahanan Mental

Ditulis oleh : HANIFF ABDULLAH HASHIM, K.B, P.A


Mental manusia adalah seperti mana otot manusia perlu dilatih untuk mempertingkatkan kekuatannya. Antara faktor yang menyebabkan ketahanan mental menjadi kurang daya tahan adalah beberapa tret pemikiran toksik. Tret pemikiran berkemungkinan baru dipelajari oleh individu melalui persekitaran dan pembelajaran, malah berkemungkinan juga sudah menjadi kebiasaan dalam tempoh masa yang lama. Antara tret pemikiran yang boleh menjejaskan ketahanan mental seseorang adalah
1). Merasakan diri terpaling malang
Apabila sesuatu halangan, kegagalan atau ujian berlaku kepada diri, pemikiran cenderung untuk menyatakan simpati yang berlebihan kepada diri sendiri. Pemikiran mula membandingkan diri dengan orang lain, individu cenderung untuk merintih sendiri mengapa perkara ini berlaku kepada dirinya dan mengapa orang lain bernasib lebih bertuah.
2). Terperangkap dalam situasi
Pemikiran juga cenderung untuk membentuk satu kepercayaan bahawa diri telah terperangkap dalam sesuatu situasi tanpa jalan keluar. Pemikiran ini menghalang kreativiti individu untuk mencari jalan keluar, malah akan menyebabkan individu merasa putus asa dan mati akal untuk bertindak.
3). Tiada sesiapa yang faham
Hakikatnya hanya empunya diri sahaja yang memahami apa yang bermain di dalam pemikirannya. Namun melakukan generalisasi bahawa tiada sesiapa faham tentang masalah yang dihadapi boleh mendorong kepada tingkah laku memencilkan diri. Apa yang perlu dibuat adalah letakkan sekiranya orang lain memahami sekadar 50 atau 60 peratus dari situasi semasa itu sudah memadai.
4). Persekitaran tidak adil.
Adil atau tidak persekitaran adalah sesuatu yang sangat subjektif dan sukar diukur. Oleh itu dari terus menyalahkan persekitaran yang ditafsirkan sebagai tidak adil, maka disarankan supaya menimbang tara bagaimana untuk mencari jalan keluar atau menjadikan keadaan persekitaran semasa lebih selesa.
5). Nasib sentiasa tidak menyebelahi diri.
Hukum sesuatu ikhtiar tidak semestinya berjaya. Sekiranya kurang berjaya ikhtiar lagi dengan cara yang baru, menggantungkan diri pada nasib umpama duduk di birai jurang tanpa ada usaha untuk beredar dari situ. Berusahalah mencari cara untuk keluar dari situasi semasa dan tidak hanya bergantung kepada masa dan nasib datang menyebelahi diri.

Keupayaan dan ketahanan mental adalah berbeza antara satu sama lain. Oleh itu usah putus asa sekiranya anda berhadapan dengan situasi emosi yang sangat kuat. Berusahalah untuk menyisihkan pemikiran-pemikiran toksik yang selama ini berada di dalam pemikiran dan cuba fokus untuk mempertingkat potensi diri.

Tarikh Input: 31/01/2024 | Kemaskini: 31/01/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcHAZ~