Oleh : Puan Kamariah binti Derasol K.B.;P.A.

Musim perayaan sering kali membawa kegembiraan, namun ia juga boleh mengundang tekanan kewangan jika tidak diurus dengan bijak. Kegagalan merancang kewangan sebelum musim perayaan akan menyebabkan perbelanjaan yang tidak terkawal. Oleh itu, adalah penting untuk merancang kewangan agar kita dapat menyambut perayaan dengan tenang tanpa dibelenggu hutang.
- Tetapkan Bajet Perayaan
Langkah pertama ialah menetapkan bajet yang realistik. Senaraikan semua perbelanjaan seperti persiapan rumah, pakaian baharu, makanan, pengangkutan, penginapan dan pemberian duit raya. Apabila ada bajet yang jelas, kita dapat mengelak daripada berbelanja berlebihan. Ingatlah kemewahan hanya memberi rasa gembira yang tidak bertahan lama. Sedangkan sederhana mengundang tenang dan lega.
- Utamakan Keperluan Berbanding Kehendak
Fikirkan apa yang benar-benar diperlukan. Misalnya, jika ada perhiasan rumah tahun lalu masih elok, mungkin tidak perlu membeli yang baharu. Sama juga dengan hidangan perayaan - cukup dengan menu sederhana tetapi memadai.
- Elakkan Hutang Tidak Perlu
Elakkan menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman peribadi hanya untuk kelihatan “mewah” semasa perayaan. Hutang jangka panjang boleh membawa tekanan emosi dan menjejaskan kestabilan kewangan kita.
- Simpanan Selepas Perayaan
Selepas musim perayaan, pastikan ada simpanan kecemasan. Kadangkala kita terlalu fokus pada persediaan hingga lupa untuk memikirkan keadaan selepasnya. Simpanan ini penting untuk membantu kita kembali stabil selepas berbelanja.
- Refleksi dan Belajar Dari Pengalaman
Selepas perayaan, luangkan masa untuk menyemak semula perbelanjaan. Analisa aspek yang boleh diperbaiki pada masa hadapan. Refleksi ini membantu kita menjadi lebih bijak dalam mengurus wang pada perayaan seterusnya. Salah satu caranya adalah mengumpulkan semua resit perbelanjaan agar boleh diikenalpasti ke mana wang dibelanjakan.
Kesimpulannya, musim perayaan tidak seharusnya menjadi punca tekanan kewangan. Dengan perancangan yang teliti dan sikap berhemah dalam berbelanja, kita dapat menikmati perayaan dengan hati yang lebih tenang dan gembira. Selamat menyambut hari perayaan dengan bijak!
Tarikh Input: 29/03/2025 | Kemaskini: 29/03/2025 | ayna
PERKONGSIAN MEDIA