MESTI TAHU! TINGKATKAN KUALITI TIDUR | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » MESTI TAHU! TINGKATKAN KUALITI TIDUR

MESTI TAHU! TINGKATKAN KUALITI TIDUR

Oleh : Dr. Mazila binti Ghazali K.B.;P.A.

Tidak mendapat tidur berkualiti dan tidur yang mencukupi boleh menyebabkan anda keletihan. Antara faktor penyumbang yang menyebabkan anda tidak dapat tidur yang berkualiti adalah disebabkan tekanan di tempat kerja, sekolah, kebimbangan tentang masalah kewangan, keluarga dan cinta.
Anda mungkin tidak dapat mengawal semua masalah dan isu yang timbul, tetapi anda boleh mengaplikasikan beberapa tip mudah ini untuk membantu anda mendapatkan tidur yang lebih baik.

Tukar tabiat tidur
Tahukah anda dengan cara memastikan tidur dan bangun di waktu yang sama setiap hari akan menjadikan anda seorang yang berdisiplin?
Saya sarankan cuba anda tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Amalkan setiap hari selama seminggu; pada hujung minggu, atau pada hari kerja biasa, walaupun anda merasakan anda tidak mendapat tidur yang secukupnya.

Ada masanya, adalah lebih baik untuk anda tidur hanya ketika anda keletihan. Anda juga boleh tidur lebih lambat dari biasa jika ia membantu anda tidur dengan lebih cepat.
Anda perlu elak menonton televisyen, menggunakan telefon, tablet atau komputer sebelum tidur. Ia akan menyebabkan otak akan bekerja walaupun anda sudah berbaring. Sebaiknya, cuba untuk rehatkan tubuh dan minda. Anda boleh mandi dengan air panas, mendengar muzik, atau minum segelas susu panas, ini antara aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti tidur anda. Selain itu dengan amalan berzikir sebelum tidur juga dapat membuatkan anda tidur dengan lebih lena.
Jangan terlalu memaksa diri untuk tidur, hindari dari terlalu melihat jam. Jika anda tidak boleh tidur, bangun dan cuba untuk membaca buku, ia mungkin dapat membantu anda tidur lebih cepat.

Cipta persekitaran tidur yang lebih baik
Persekitaran tidur juga boleh menjejaskan tidur anda. Oleh itu, sebaiknya ubah suai suasana bilik tidur agar lebih menenangkan. Anda juga boleh membeli dan memasang wangian yang sesuai untuk bilik anda. Ini secara tidak langsung memberi keselesaan dan anda akan merasa lebih nyaman. Pastikan suhu bilik juga bersesuaian, iaitu tidak terlalu panas dan tidak juga terlalu sejuk. Gunakan bantal dan tilam yang selesa, selain itu pastikan anda menukar cadar dan sarung bantal sekurangnya 2 minggu sekali. Ini bagi mengelakkan bakteria dan habuk melekat di tilam anda dan menyebabkan kegatalan pada kulit. Jika ini berlaku pastinya, anda tidak akan selesa dan tidak dapat menikmati tidur yang lena.
Selain itu pastikan anda kekal aktif. Ini kerana dengan melakukan aktiviti fizikal akan dapat membantu anda untuk tidur lebih cepat dan lebih baik. Melakukan 30 minit aktiviti berjalan atau berbasikal antara idea yang baik. Tetapi elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti berat terlalu hampir dengan waktu tidur kerana ia akan menyebabkan tubuh anda bertenaga dan mengakibatkan anda tidak boleh tidur awal.

Kawal rutin pemakanan
Setiap apa yang anda makan dan juga minum turut boleh mengganggu tidur anda. Anda perlu elak minum kopi atau teh beberapa jam sebelum waktu tidur.
Seimbangkan air yang anda ambil. Tidak mengambil air yang secukupnya boleh menyebabkan anda haus, manakala, mengambil terlebih air akan membuatkan kerap pergi ke tandas.
Hindari minuman beralkohol. Jangan makan makanan yang berat sebelum tidur. Ini boleh membuatkan anda tidak selesa untuk berbaring. Pilih snek ringan seperti kacang untuk elakkan diri daripada lapar.

Kurangkan tidur waktu siang
Tidur pada waktu siang mempunyai kaitan dengan tidur malam. Jika anda terlebih tidur pada waktu siang, anda akan mendapat kesukaran untuk tidur pada waktu malam. Jika anda perlu dan ingin tidur pada waktu siang, pastikan ia adalah sekejap Sahaja. Tidur waktu siang sebelum anda solat Zohor adalah sangat digalakkan. Sekurang-kurangnya dapatkan tidur selama 15 hingga 30 minit sebelum anda menunggu waktu Zohor. Selepas bangun daripada tidur badan anda akan bertambah segar dan boleh menjalankan rutin harian iaitu bekerja dengan lebih baik pada sebelah petang.

Kawal tekanan
Tahukah anda tekanan adalah antara punca utama masalah tidur. Jika anda perlu melakukan terlalu banyak kerja, cuba untuk aturkan ia sebaik mungkin. Jangan bekerja terlalu lama, anda perlukan rehat. Cuba untuk bersantai dengan mendengar radio atau melakukan senaman ringan. Sekiranya kerja anda memerlukan anda duduk dan menghadap komputer, pastikan anda bangun sekejap dan lakukan senaman ringan. Ini bagi memastikan aliran darah berjalan dengan lancar dan anda tidak berada dalam kepenatan seperti sakit pada bahagian bahu, punggung dan juga seluruh anggota badan. Tekanan akan menyebabkan tidur anda terganggu kerana pemikiran anda tidak berehat dengan secukupnya. Jadi pastikan anda bijak mengawal tekanan.

Tarikh Input: 28/01/2025 | Kemaskini: 28/01/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (01:51:14am-01:56:14am, 26 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]