Oleh : Encik Mohamad Za’im bin Rosli K.B.;P.A.
Hari ini barisan kepimpinan mahasiswa menjadi tunjang utama kepada pengurusan universiti. Samada di peringkat fakulti, kolej kediaman, mahupun pusat tanggungjawab (PTJ). Peranan yang semakin besar diletakkan atas bahu mereka dengan aspirasi untuk memberi pengalaman libat urus pentadbiran universiti dilihat boleh menjadi beban dan tekanan sekiranya tidak disediakan dengan ekosistem pentadbiran yang kondusif dan efisien.
Oleh itu, artikel pada kali ini akan menyentuh peranan yang perlu dimainkan oleh pengurusan universiti di pelbagai peringkat untuk peduli kesejahteraan barisan kepimpinan mahasiswa yang membantu atau menyokong perkhidmatan di universiti ini.
Antara aspek utama yang boleh diberi tumpuan adalah peduli dengan had sempadan kerja atau skop kerja yang perlu mereka laksanakan. Hal ini penting untuk diperjelaskan agar golongan ini tidak merasakan diri dimanipulasi. Nyatakan dengan jelas apakah bentuk sokongan pekhidmatan yang sesuai dengan limitasi mereka sebagaimana yang termaktub di dalam garis panduan.
Apabila semua pihak jelas dengan skop kerja masing-masing, dan sempadan atau limitasi skop kerja, seterusnya PTJ perlu peduli dengan ruang masa pemimpin ini. Menyedari ruang masa yang agak terhad bagi mereka, maka penting untuk mengurus masa dengan efektif. Setiap pertemuan perlu menetapkan had masa yang sesuai dan mencapai matlamat perbincangan. Elakkan menganggu waktu kuliah mahupun perjumpaan lewat malam. Hal ini akan memberi situasi menang-menang di antara pelajar dan pihak pengurusan.
Seterusnya, bekalkan latihan pengurusan yang efektif kepada mereka dan bukan hanya memberi tugas dan melepaskan mereka tanpa sebarang panduan. Harus diingatkan bahawa kehadiran mereka adalah untuk membantu bukan untuk menyempurnakan kerja-kerja yang sememangnya menjadi tanggungjawap bagi satu-satu PTJ.
Akhir sekali, hargai sumbangan mereka dengan pelbagai bentuk penghargaan. Penghargaan paling mudah adalah kata-kata pujian dan penghargaan kepada mereka. Kritikan yang keras hanya akan mematikan semangat mereka untuk terus membangunkan diri. Ini secara tidak langsung akan mendidik diri mereka sebagai pemimpin untuk menghargai anak buah mereka di masa akan datang.
Tarikh Input: 29/11/2024 | Kemaskini: 29/11/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia