Oleh: Encik Mohamad Za’im bin Rosli K.B.;P.A.
Sememangnya aspek kepemimpinan mahasiswa menjadi aspek penting dalam membangun watak yang yang berkualiti dan berdaya saing.
Namun adakah bakat ini diurus, dimimpin dengan baik di kampus? Sejauh mana kesejahteraan diri mereka, kemampanan pembangunan profesionalisma mereka dan kualiti intelektual mereka diambil peduli oleh sistem dan warga kampus?
Boleh jadi pemimpin mahasiswa hanya dipandang sebagai kuli yang menyudahkan kerja-kerja universiti dengan dibebani pelbagai peranan dan tugas atas tiket kematangan memimpin atau memberi ruang untuk memimpin.
Persoalan ini timbul tatkala penulis bersama barisan pemimpin ini dalam pelbagai siri perkongsian dan latihan bertukar-tukar pandangan dan rasa. Perluahan seperti ini membuka mata penulis untuk memerhati semula sudut pandang mereka dengan sistem sokongan yang dibekalkan kepada mereka.
Kurangnya latihan kepimpinan yang berkualiti, lemahnya sistem pentadbiran kuno yang masih diamalkan samada di peringkat kolej kediaman, universiti mahupun kementerian, kekurangan pendanaan, kemudahan fasiliti yang minimum lebih melemahkan semangat pemimpin ini.
Golongan pemimpin mahasiswa dilihat terus terumbang ambing dengan dasar-dasar berat kerajaan yang mengimpikan mereka terlibat sama dalam pentadbiran universiti sedangkan mereka belum bersedia dan tidak termampu dengan beban tugasan akademik dan kewangan sendiri yang cukup-cukup makan. Impian yang dahulunya ingin membangun bakat kepemimpinan mungkin sekarang hanya meruntuh potensi.
Penulis melihat isu ini tidak boleh dipandang sepi mahupun dinafikan. Semua pihak perlu membantu golongan yang mempunyai kualiti kepemimpinan yang baik di kampus ini terjaga dan terbela kesejahteraan mereka.
Di peringkat universiti, apa yang boleh dilakukan adalah transformasi kepemimpinan mahasiswa yang meliputi perjawatan di peringkat universiti, fakulti, kolej kediaman, dan kelab persatuan perlu dilaksanakan. Ia juga perlu meliputi transformasi ekosistem persatuan, pengurusan digital yang holistik, modul latihan efektif, kemudahan fasiliti, dan pendanaan.
Bahagian kaunseling UPM melalui peranan pembangunan kendiri pelajar juga bersedia bekerjasama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada barisan kepimpinan mahasiswa. Kami percaya potensi individu akan terus berkembang seiring dengan kesejahteraan yang diri yang baik. Seharusnya peranan kaunselor dalam membangun potensi kepimpinan pelajar tidak boleh dipisahkan.
Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia