PENGURUSAN KEWANGAN YANG LEMAH PUNCA GAGAL MENYIMPAN | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » PENGURUSAN KEWANGAN YANG LEMAH PUNCA GAGAL MENYIMPAN

PENGURUSAN KEWANGAN YANG LEMAH PUNCA GAGAL MENYIMPAN

Oleh : Mohamad Ashaari bin Awab K.B.;P.A.


Satu tinjauan Tingkahlaku Kewangan yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun 2018 menunjukkan, tahap kesejahteraan kewangan dalam kalangan orang dewasa yang bekerja di negara ini masih berada pada tahap rendah.
Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Akmar Yaakub,
"Keberhutangan yang tinggi adalah satu isu yang perlu dihadapi majikan di mana tiga daripada 10 rakyat yang bekerja terpaksa meminjam bagi membeli keperluan asas.
"Mereka berpendapatan di bawah RM2,000, simpanan adalah cabaran kewangan paling besar.
"Mereka yang serius dalam menyediakan perbelanjaan adalah umur di antara 50 hingga 59 tahun manakala mereka berpendapatan tinggi, dilihat kurang merancang perbelanjaan," katanya.
Merujuk kepada kenyataan di atas, penulis berpendapat, pengurusan kewangan yang lemah merupakan punca utama kegagalan individu untuk menyimpan wang.
Berikut ialah beberapa sebab pengurusan kewangan yang lemah boleh menyukarkan kita untuk mempunyai simpanan.


Tiada perancangan kewangan.
Penetapan matlamat amat penting untuk meningkatkan motivasi kita konsisten membuat simpanan wang. Namun, jika individu kurang atau tiada perancangan kewangan peribadi sudah tentu sukar untuk menetapkan matlamat simpanan dan melaksanakan strategi yang berkesan untuk mencapainya.


Tidak tahu aliran tunai.
Tidak meneliti aliran wang keluar semasa berbelanja juga merupakan kesan dari pengurusan kewangan yang lemah. Tanpa perbelanjaan yang teratur, seseorang mungkin dengan mudah membelanjakan wang tanpa menyedari berapa banyak yang mereka telah belanjakan dan akhirnya tiada baki yang boleh disimpan.


Berbelanja Melebihi Kemampuan.
Penggunaan kad kredit yang tidak terkawal atau membelanjakan untuk pembelian barangan mewah yang tidak perlu boleh mengakibatkan hutang yang tinggi dan mempunyai terlalu banyak hutang. Kesan kepada perkara ini boleh menghalang keupayaan individu untuk menyimpan wang.


Kurang atau tiada ilmu kewangan
Kurang pengetahuan tentang ilmu pengurusan kewangan peribadi dan keperluan menyimpan wang boleh menyebabkan seseorang itu tidak memberi keutamaan kepada aktiviti menabung. Ramai pakai kewangan berpendapat, perkara asas untuk menyimpan wang adalah, ‘simpan dulu baru belanja’ . Contohnya, duit gaji kita terima pada setiap 25 haribulan, perkara utama yang perlu dilakukan adalah simpan dahulu sekurang-kurangnya sepuluh peratus dari pendapatan kemudian barulah baki duit gaji kita belanjakan untuk kegunaan lain.


Untuk mengatasi masalah ini, adalah penting untuk bermula dengan meningkatkan ilmu pengurusan kewangan, seterusnya tindakan membuat belanjawan, menetapkan matlamat simpanan yang realistik, dan memastikan setiap perbelanjaan mengikut bajet kewangan yang telah ditetapkan. Selain itu, mengawal perbelanjaan dan mengurangkan hutang juga akan membantu meningkatkan keupayaan untuk menyimpan wang dengan berkesan.

Tarikh Input: 30/06/2024 | Kemaskini: 30/06/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
X, (02:51:22am-02:56:22am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]