Oleh : Puan Anis Akmilah binti Mat Hassan K.B.;P.A.
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2019 telah mencetuskan norma baharu dalam kalangan masyarakat dunia. Kesan kepada perintah berkurung yang menjadi norma baharu kepada masyarakat telah menjadikan kita lebih cenderung kepada amalan penyendirian sosial.
Penyendirian sosial merujuk kepada keadaan di mana seseorang menjauhkan diri daripada interaksi dengan individu lain dalam jangka masa tertentu. Walaupun ada kalanya penyendirian diperlukan untuk refleksi dan ketenangan, keterasingan sosial yang berpanjangan boleh memberi kesan negatif terhadap hubungan interpersonal.
Salah satu kesan utama penyendirian sosial ialah kemerosotan kemahiran komunikasi. Individu yang sering menyendiri kurang berlatih dalam berinteraksi dengan orang lain, menyebabkan mereka sukar menyampaikan perasaan atau pendapat dengan jelas. Kesan yang lebih jelas dapat dilihat dalam komuniti remaja yang masih goyah dalam kemahiran komunikasi. Mereka lebih cenderung untuk ‘sibuk’ dengan gajet atau media sosial berbanding interaksi fizikal. Keadaan ini boleh menimbulkan kesan jangka masa panjang terhadap keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam satu-satu perhubungan, sama ada dengan keluarga, rakan, atau masyarakat.
Selain itu, penyendirian sosial boleh mempengaruhi tahap kepercayaan dalam sesuatu perhubungan. Individu yang terbiasa mengasingkan diri mungkin menghadapi kesukaran untuk membuka diri kepada orang lain. Mereka cenderung lebih berhati-hati dan menghadkan interaksi sosial dalam kehidupan seharian. Perasaan curiga boleh menimbulkan rasa tidak selamat serta keraguan yang berpanjangan, oleh itu mereka cenderung menjauhkan diri dan hidup terasing. Keadaan ini menjejaskan keperluan asas manusia dalam fasa sense of belonging, di mana seseorang memerlukan hubungan sosial yang kukuh untuk merasa diterima dan dihargai.
Dari segi emosi, individu yang sering menyendiri mungkin lebih cenderung mengalami kesunyian dan kemurungan. Kekurangan interaksi sosial menghalang mereka daripada menerima sokongan emosi yang diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup, menjadikan mereka lebih terdedah kepada tekanan psikologi. Keseimbangan dalam perhubungan intrapersonal dan interpersonal memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan emosi dan fizikal seseorang. Namun, apabila keseimbangan ini terganggu, individu bukan sahaja mengalami tekanan emosi tetapi juga berisiko menghadapi masalah kesihatan fizikal. Kegagalan memenuhi keperluan ini boleh menjejaskan kesejahteraan mental serta hubungan interpersonal dalam jangka masa panjang.
Bagi mengatasi kesan negatif ini, individu disarankan untuk keluar dari zon selesa dan berusaha membina semula hubungan interpersonal. Menyertai aktiviti sosial, berkomunikasi dengan orang terdekat, dan mendapatkan sokongan profesional jika perlu boleh membantu seseorang keluar daripada kitaran penyendirian sosial dan menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.
Tarikh Input: 28/03/2026 | Kemaskini: 28/03/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia