Oleh : Puan Noorihayatti binti Noorudin K.B.;P.A.

Dalam mencari dan memelihara hubungan yang bahagia dan berkekalan, adalah menjadi perkara yang penting untuk anda memahami nilai-nilai yang membentuk asas hubungan yang kukuh. Salah satu cara untuk menjemput hubungan yang positif dan bahagia adalah dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip L.O.V.E. - iaitu kebolehan untuk mendengar, keterbukaan diri, keprihatinan dan mengungkapkan kasih sayang. Mari lihat dengan lebih dekat bagaimana setiap elemen ini membantu dalam membangun hubungan yang bermakna.
L - Listen (Dengar)
Dalam setiap perhubungan, kemahiran mendengar adalah kuncinya. Ini bukan sekadar mendengarkan dengan telinga, tetapi juga dengan hati. Apabila pasangan anda berkomunikasi, berikanlah perhatian dengan sepenuhnya. Dengarlah dengan penuh perhatian tanpa menghakimi atau mengganggu perkongsiannya. Mendengar dengan teliti akan memberikan pasangan anda merasa dirinya dihargai dan diperhatikan yang akhirnya membangun kepercayaan dan saling memahami di antara kedua-dua belah pihak.
O - Openness (Keterbukaan)
Keterbukaan adalah asas kepercayaan dan kejujuran dalam hubungan. Ia menjadi satu perkara yang penting untuk ‘membuka’ diri dan berkongsi perasaan, pemikiran, dan impian bersama pasangan. Tanpa keterbukaan, suatu hubungan akan cenderung dipenuhi dengan ketidakpastian dan ketidakselesaan. Melalui keterbukaan, pasangan akan dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, memperkuat ikatan emosi dan menangani masalah dengan lebih efektif.
V - Value (Menghargai)
Menghargai adalah penghargaan yang diberikan kepada pasangan atas segala yang usaha yang mereka telah berikan dalam hubungan. Ini termasuklah dengan menghargai kualiti masa, usaha dan sumbangan mereka terhadap kebahagiaan anda. Kita seringkali mengambil mudah atau menganggap remeh akan pasangan, tetapi apabila anda mula menghargai setiap aspek diri mereka, ia akan dapat membantu memupuk rasa terima kasih dan penghargaan bermakna dalam hubungan berpasangan.
E - Express (Ungkapkan)
Mengungkapkan kasih sayang dan penghargaan kepada pasangan secara terbuka dan konsisten adalah sangat signifikan. Ungkapkan perasaan cinta, kagum dan terima kasih melalui kata-kata dan tindakan. Hal ini akan memperkuat ikatan emosi dan memberikan keyakinan kepada pasangan tentang betapa dalamnya dan kuatnya hubungan tersebut.
Dalam hubungan yang berjaya, L.O.V.E. bukanlah sekadar kata-kata kosong, tetapi prinsip-prinsip yang perlu diamalkan secara aktif setiap hari. Dengan mendengar dengan teliti, membuka diri dengan jujur, menghargai setiap masa bersama, dan mengungkapkan kasih sayang tanpa syarat, anda dapat membina hubungan yang kukuh dan bermakna. Jadi, marilah memikat pasangan dengan L.O.V.E. dan memperjuangkan kebahagiaan bersama.
Tarikh Input: 24/06/2025 | Kemaskini: 24/06/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia