Oleh : Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.

Setiap individu mempunyai rasa ingin disayangi dan dikasihi. Namun, apabila putus cinta, bagaimana? Perasaan sedih, benci, dendam,sakit hati dan tidak bersemangat silih berganti. Perasaan-perasaan negatif akan muncul dalam diri sekiranya tidak dirawat. Padahnya boleh membawa kepada kemudharatan sehinggakan ada yang merana berpanjangan dan ada juga yang tidak lagi sanggup hidup di dunia ini.
Berikut dikongsikan empat (4) tips yang boleh anda lakukan apabila anda putus cinta.
#Tip Pertama : Menangislah!
Saat mula-mula putus cinta anda akan menganggap diri anda bagai sampah. Tidak berguna. Persoalan mengapa, apa punca, apa kurangnya saya akan senantiasa berlegar-legar di fikiran. Kesedihan melampau akan datang. Menangislah…
Kajian menunjukkan menangis boleh meredakan dan mengeluarkan emosi sedih. Walau bagaimana pun, jangan terlalu lama menangis, Cukuplah seketika. Mungkin beberapa hari atau seminggu anda dalam keadaan sedih. Hadkan. Jangan jadikan menangis dan sedih itu berlarutan!
#Tip Kedua: Berkongsi rasa dengan seseorang yang anda percaya.
Bila berkongsi rasa, meluahkan, akan meredakan tekanan yang dialami. Tiada respon verbal dari rakan pun tidak mengapa, kerana saat ini kita hanya ingin berbicara dan meluahkan. Cari rakan baik yang boleh mendengar dan boleh menyimpan rahsia.
#Tip Ketiga : Ubah perhatian
Fokuslah kepada perkara lain. Ubah perhatian daripada cinta kepada perkara lain yang anda sukai. Dengan cara ini membuka ruang kepada anda untuk membuka perkara-perkara baik yang lain. Dengan cara ini juga anda akan merasakan masalah yang dihadapi tidaklah sebesar mana, dan anda mampu jalaninya dengan baik.
#Tip Keempat : Pandanglah masa hadapan, lupakan masa lalu
Kembali semula kepada peranan dan tanggungjawab sebenar anda. Jika anda di universiti, kembali melihat matlamat jangka pendek, dan jangka panjang yang anda inginkan. Lupakan kenangan secara perlahan-lahan. Setiap peristiwa adalah kenangan, setiap orang yang anda kenali adalah pembelajaran supaya anda lebih baik sekarang dan masa akan datang.
Tarikh Input: 30/05/2025 | Kemaskini: 31/05/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia