Oleh : Encik Mohamad Ashaari bin Awab K.B.;P.A.

1. NIAT & TUJUAN
Sekiranya anda ingin memulakan simpanan emas, mulakan dengan niat dan tujuan yang jelas. Contohnya, saya ingin mulakan simpanan emas untuk menambah aset yang boleh digunakan sebagai keperluan berikut ; sebagai dana kecemasan, modal pusingan perniagaan, simpanan persaraan, tabungan pendidikan anak-anak, simpanan untuk menunaikan haji, modal untuk membeli rumah dan sebagainya. Ia akan memudahkan kita untuk mencapai objektif simpanan emas kita.
2. BERMULA DENGAN ILMU
Perkara kedua yang paling penting sebelum memulakan simpanan emas adalah, tambahkan ilmu tentang simpanan dan pelaburan Emas dengan menghadiri seminar-seminar tentang pengurusan kewangan dan simpanan emas. Selain itu, amat penting untuk anda banyakkan membaca buku-buku tentang Emas yang ditulis oleh mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dan pakar dalam simpanan emas seperti Buku Wang Emas yang ditulis oleh Mohd Zulkifli Shafei, Buku Menyingkap Rahsia Pelaburan Emas yang ditulis oleh Syukor Hashim, Buku Masa untuk Emas yang ditulis oleh Azizi Ali dan banyak lagi buku-buku tentang emas yang ada di luar sana.
3. BELAJAR DARI MENTOR
Cari dan kenalpasti orang yang berpengalaman dalam simpanan emas. Belajar dari mereka dan jangan malu untuk bertanya kerana setiap orang bermula dari ‘ZERO’ tentang emas. Ia amat penting untuk mengelakkan kita dari terjebak ‘skim cepat kaya’ yang biasanya akan mengaburi pemikiran dan mata kita dengan menawarkan keuntungan yang tinggi berlipat kali ganda. Banyak kisah mereka yang tiada mentor dan ilmu tentang emas ini tersilap langkah dan akhirnya menanggung kerugian.
4. BELI DENGAN SYARIKAT YANG BETUL
Dengan ilmu dan mentor yang telah ada pastinya anda akan dapat mengenalpasti syarikat yang benar-benar stabil, kukuh dan bereputasi tinggi. Pastikan Syarikat tersebut bukan Sahaja menjual emas tetapi membeli semula emas pada bila-bila masa tanpa had.
5. BELI EMAS IKUT KEMAMPUAN
Apabila anda telah kenalpasti Syarikat yang betul untuk membeli emas, belilah emas mengikut kemampuan. Ia penting untuk mendisiplinkan diri kita menyimpan emas secara konsisten. Sebagai contoh satu gram sebulan atau sekurang-kurangnya menyimpan emas paling minimum RM100 sebulan.
6. AMBIL TINDAKAN SEKARANG
Seterusnya, ambil tindakan sekarang. Bagi yang bekerja, apabila dapat gaji, disiplinkan diri untuk menyimpan emas sekurang-kurangnya 1 gram sebulan. Setelah setahun menyimpan, jika kita membuat kiraan matematik, pastinya akan ada 12 gram simpanan emas kita, tetapi kemungkinan besar jika anda sudah bermula, tidak mustahil simpanan emas anda akan lebih dari 12 gram setahun kerana anda sudah mempunyai ilmu dan keterujaan menyimpan aset nilai paling stabil di dunia.
Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 30/04/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia