TAKUT BERBICARA - APA PUNCANYA? | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » TAKUT BERBICARA - APA PUNCANYA?

TAKUT BERBICARA - APA PUNCANYA?

Oleh : Puan Kamariah binti Derasol K.B.;P.A.

Pernahkah anda sedar, ada orang yang mempunyai kesukaran untuk berbicara? Selalunya mereka memilih untuk mendiamkan diri, ataupun hanya bercakap apabila disoal. Perbincangan artikel ini bukanlah mengenai orang yang mempunyai personaliti introvert yang lebih pendiam. Sebaliknya, fokus artikel ini adalah mengenai individu yang sukar untuk bercakap kerana faktor – faktor seperti di berikut :

Cara didikan keluarga yang tidak menggalakkan interaksi terbuka di dalam keluarga.

Anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai ibu bapa yang garang boleh mengakibatkan anak tidak berani untuk menyuarakan pendapat. Ketakutan yang terbina di peringkat bawah sedar fikiran menyebabkan seseorang itu percaya bahawa dirinya tiada hak untuk bersuara. Apabila berhadapan dengan individu yang berautoriti, individu tersebut hanya menurut walaupun banyak hasrat terkunci di dalam mulut.

Takut berbicara kerana pengalaman lalu yang tidak menyenangkan.

Contohnya, semasa di sekolah, pernah diejek kerana gagap apabila disoal oleh guru. Pengalaman diejek semasa di usia muda boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang untuk berkomunikasi. Contohnya mempunyai penampilan fizikal yang kurang menarik seperti gemuk, jerawat, gigi jongang dan sebagainya.

Tidak cukup ilmu dan kemahiran komunikasi.

Ada individu kurang berpeluang mempelajari ilmu komunikasi. Dalam perkembangan kehidupan, ada juga yang tidak menyedari dirinya perlu menaik taraf ilmu dan kemahiran baru untuk berkomunikasi. Ianya termasuklah komunikasi secara lisan, bukan lisan, bahasa badan, komunikasi media dan sebagainya. Yang pentingnya adalah membuka ruang untuk diri belajar perkara baharu tanpa mengira peringkat usia.

Anda boleh gunakan tips komunikasi 3P – People, Place, Purpose.
Berkomunikasi mengikut laras bahasa yang sesuai dengan orang yang kita temui.
Berkomunikasi mengikut kesesuaian organisasi, lokasi.
Berkomunikasi mengikut tujuan yang jelas, matlamat yang ingin dicapai.

Ingatlah, dengan berbicara dapat membantu mendapat kejelasan maklumat dan maksud dalam komunikasi sesama kita.

Tarikh Input: 24/03/2025 | Kemaskini: 29/03/2025 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (03:29:24pm-03:34:24pm, 27 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]