Oleh : Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.
Tazkiyah adalah dari perkataan arab ‘zakaa’ yang bermaksud bersih atau suci. Manakala an-Nafs bermaksud jiwa. Tazkiyah an-Nafs di sini diertikan dengan penyucian jiwa.
Apakah kaitan Tazkiyah an-Nafs dengan kehidupan?
Konsep Tazkiyah an-Nafs ialah salah satu konsep yang dibawakan oleh Imam Al- Ghazali. Ianya lebih kepada satu konsep kaunseling melalui perspektif Islam yang menyeru kepada manusia kearah penyembuhan dan penyuburan hati melalui penerapan elemen-elemen positif. Menurut Imam Al-Ghazali, konsep ‘manusia’ dikaji dari segi unsur kerohanian yang ada dalam manusia yangmana ianya terdiri daripada alqalb, roh, nafs, dan aql.
Bagaimanakah pelaksanaan Tazkiyah an-Nafs ini dalam kehidupan harian?
Apa yang terlahir daripada diri kita, baik berupa perkataan mahupun perbuatan merupakan gambaran dari jiwa kita yang abstrak. ‘Zahir adalah cerminan batin’. Ianya merupakan satu usaha gigih yang dilakukan untuk menyucikan diri dari sifat-sifat buruk dan keji (mazmumah) yang menjadi penghalang kepada menyuburan akhlak mulia (mahmudah). Sesuatu konflik yang terjadi adalah kerana keegoan diri yang banyak dikuasai oleh sifat mazmumah. Apabila hati (alQalb) dapat disucikan daripada sifat mazmumah kepada mahmudah proses penyelesaian sesuatu masalah akan dapat dilaksanakan dengan baik.
Apakah kaitan konsep ini dalam sesi kaunseling bersama klien?
Kaunseling dengan perspektif Islam adalah bersifat global, bukan hanya kepada orang Islam semata. Ianya selari dengan tujuan asal kaunseling yang menggalakkan keharmonian diri klien. Elemen-elemen spiritual sebenarnya sangat dekat dengan jiwa/rohani seseorang. Fungsi kaunseling ialah untuk mencegah, mengembang, memulih, melerai krisis, mengendalikan perundingan dan fungsinya bertambah dalam kaunseling Islam dengan konsep tazkiyah an Nafs, iaitu dengan menyucikan jiwa.
An-Nafs dalam konsep Tazkiyah an-Nafs mempunyai 7 tahap iaitu :-
1. Ammarah (hati yang tergoda dengan nafsu dan syaitah. Sentiasa gemar dengan kejahatan dan dosa)
2. Lawwamah (Selalu mengkritik diri sendiri bila melakukan kejahatan. Beristighfar bila melakukan dosa)
3. Mulhamah (Sentiasa bersyukur, tawadhuk, sabar, redha)
4. Mutmainnah (Nafsu yang bersih tapi belum jernih)
5. Rodhiyah (Nafsu para wali, zuhud, wara’)
6. Mardziyyah (Yang lebih tinggi tahapnya dan sentiasa redha dengan ketentuan Allah)
7. Kamilah (Para Nabi dan Rasul)
Bagaimanakah proses Tazkiyah An-Nafs/ Penyucian jiwa itu dalam menyelesaikan masalah?
Proses Tazkiyah adalah dengan:-
Takhalli –stamping out apa yang buruk dan digantikan dengan
Tahalli –stamping on / membiasakan dengan sifat yang baik
Tajalli- Nur/Rabbaniyyah
Proses-proses ini perlu diterapkan di dalam sesi-sesi bersama klien (proses penerokaan, muhasabah, pilihan jalan penyelesaian)
Apakah kesimpulannya?
Aspek spiritual dalam proses menolong merupakan satu elemen yang sangat penting. Fitrah manusia mahukan sesuatu kebaikan. Dengan penekanan konsep spiritual bukan sahaja dapat memberikan bantuan kehidupan dunia bahkan akhirat. Proses perubahan yang terjadi bukan hanya bersifat kontemporari bahkan ianya lebih mendalam dan kekal.
Tarikh Input: 29/11/2024 | Kemaskini: 29/11/2024 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia