TERAPI DIRI, KEPENTINGANNYA DALAM MENGIMBANGI EMOSI | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » TERAPI DIRI, KEPENTINGANNYA DALAM MENGIMBANGI EMOSI

TERAPI DIRI, KEPENTINGANNYA DALAM MENGIMBANGI EMOSI

Oleh : Puan Wan Azurani binti Wan Ahmad K.B.;P.A.

HAKIKATNYA, setiap insan perlukan ketenangan. Namun, bukan mudah untuk peroleh ketenangan dalam suasana hidup yang begitu mencabar kini dari pelbagai aspek. Pelbagai faktor yang membebani fikiran emosi seperti faktor peribadi, ekonomi, kewangan, pembelajaran, keluarga, sosial dan lain-lain melenyapkan ketenangan itu sendiri. Melihatkan keperluan ketenangan itu sangat penting, kita perlu melakukan pelbagai aktiviti sebagai terapi diri untuk bertenang dan persediaan menghadapi apa juga bentuk kesukaran dengan baik.

‘TERAPI DIRI’ yang dimaksudkan adalah apa-apa aktiviti atau minat yang boleh memberikan kita ketenangan dalam diri apabila melakukannya.

Apakah itu ‘TERAPI DIRI’? Secara umumnya terdapat pelbagai cara untuk terapi diri. Antaranya menerusi aktiviti keagamaan, aktiviti bersama alam, melaksanakan hobi seperti memasak, berbasikal, melukis, menulis, membaca, berkebun, menghias rumah, melancong, mendengar muzik, menonton video dan banyak lagi yang mana memberikan ketenangan kepada diri individu dengan mengikut cara mereka tersendiri.

Adakah TERAPI ini juga boleh menjadi HOBI?

Ya, memang benar, kebiasaan hobi seseorang individu adalah melakukan apa yang digemari yang memberikan rasa kepuasan dan kegembiraan. Sebagaimana konsep yang sama, terapi dan hobi juga mempunyai tujuan yang sama, iaitu mencipta aktiviti bagi memberi ruang kepada diri untuk bertenang seketika sebelum meneruskan aktiviti harian dan kefungsian masing-masing.

Perkaitan terapi diri dengan keseimbangan emosi?

Emosi adalah perasaan kuat yang dialami seseorang, atau ditujukan kepada seseorang atau sesuatu. Emosi juga merujuk pada reaksi terhadap seseorang mahupun peristiwa. Emosi dapat ditunjukkan ketika merasa senang terhadap sesuatu, marah kepada seseorang, atau takut akan sesuatu.

Emosi mempunyai hubungkait dengan status psikologi dan perasaan seseorang yang dinyatakan menerusi tingkah laku tertentu. Perasaan emosi boleh menjadi emosi positif (emosi yang baik), dan boleh menjadi emosi negatif (emosi yang buruk). Emosi yang buruk akan memberikan tekanan, sebaliknya emosi yang baik akan memberikan ketenangan dan kebahagiaan.
Ketenangan membuatkan kondisi emosi kita baik dan memberikan kefungsian penuh kepada diri.

Bagaimana fungsi TERAPI dalam mengawal kestabilan EMOSI? Kita perlu mengawal emosi supaya dapat mengawal pemikiran, tingkah laku dan juga keseluruhan kehidupan.

Dalam keadaan emosi yang tidak baik dan memberikan tekanan, pendekatan TERAPI sangat diperlukan agar kita dapat berhenti seketika daripada memikirkan masalah dan kemudian BERTENANG, kemudian dapat menstabilkan diri untuk berfikir dan bergerak ke arah penyelesaian.

Emosi yang stabil adalah sangat penting. Penting bagi kesejahteraan diri, kesihatan fizikal dan mental. Adalah penting bagi menjaga kefungsian kita sama ada sebagai ibubapa, anak, pekerja, majikan dan apa jua peranan dan tanggungjawab kita.
Keadaan EMOSI seseorang individu berkait rapat dengan tahap kesihatan mental. Emosi yang tidak baik dan tidak dikawal dengan baik akan mempengaruhi corak pemikiran dan tingkah laku seterusnya mengganggu kesihatan mental. Emosi yang negatif mungkin menyebabkan seseorang mengalami overthinking, anxiety (kebimbangan melampau) dan akan memberi impak kepada kesihatan mental.

Bagaimana pula terapi bagi individu bekerjaya?

Dalam usaha mengimbangi keperluan kerjaya, keluarga dan interaksi sosial, perlunya pembahagian masa untuk aktiviti terapi dan keperluan tugas amat penting. Di sinilah fungsi terapi dalam ‘recharge diri’ yang memberikan fasa ‘pause’ seketika kepada mental dan fizikal daripada kerja yang membebankan. Selain itu, dapat memberi ruang diri untuk ‘me time’ dan kembali semula dengan penuh semangat.
RECHARGE DIRI yang dimaksudkan di sini adalah suntikan MOTIVASI DIRI. Perumpamaan ini diberikan khusus bagi setiap diri kita sama ada PELAJAR, PEKERJA, IBU-BAPA atau apa jua peranan, agar kita sentiasa memberikan suntikan motivasi kepada diri sendiri setelah menempuhi pelbagai aktiviti harian dalam kehidupan.

Secara kesimpulannya, sebagai seorang manusia, kita perlu menjaga keseluruhan kefungsian kita dengan baik dan sempurna. Bagi memberikan kehidupan berkualiti kepada diri dan orang lain, selfcare adalah sangat penting. Pelbagai aspek perlu diseimbangkan dan dijaga dengan baik. Jasmani, Emosi, Spiritual dan Intelektual perlu selari. Fitrah manusia mahukan sesuatu yang sempurna. RECHARGE diri, buatlah aktiviti terapi bersesuaian moga mampu memberikan motivasi yang lebih baik kepada diri agar dapat menyumbang kepada diri dan orang lain dengan lebih berkualiti.

Tarikh Input: 30/08/2024 | Kemaskini: 30/08/2024 | ayna

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
W, (03:47:28am-03:52:28am, 27 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]