Oleh : Puan Kamariah Derasol

Orang muda terutamanya yang masih belajar ataupun baru melangkah ke alam pekerjaan lazimnya mempunyai pendapatan yang terhad. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, pelbagai cara boleh digunakan untuk menjimatkan perbelanjaan. Lazimnya, perbelanjaan bulanan terbesar akan habis kepada makanan dan minuman, kerana ianya adalah keperluan harian.
Berikut adalah beberapa tip praktikal yang boleh digunakan untuk anda jimatkan perbelanjaan bulanan agar anda dapat gunakan wang yang dijimatkan kepada tabungan dan pelaburan.
1.Memasak sendiri makanan
Sekiranya anda ada kemudahan memasak, ianya dapat menjimatkan sehingga 50 % kos makanan yang dibeli. Contohnya, harga sepinggan nasi adalah sekitar RM 1 hingga RM 1.50. Sedangkan kos beras yang dimasak adalah 50 sen sahaja. Dengan memasak nasi putih sahaja setiap hari anda dapat menjimatkan RM 30 sebulan.
2. Berkongsi membeli makanan
Sekiranya anda mempunyai rakan sekuliah, rakan sebilik atau rakan serumah sewa, dan tidak mempunyai dapur untuk memasak, tips ini sesuai untuk anda. Paling penting adalah mempunyai rakan yang ‘sekepala’ sama selera dan boleh bertolak ansur. Contohnya, Fakrie membeli seketul ayam masak kari. Firas membeli seekor ikan kembung masak sambal. Selepas membeli lauk, hidang dan makan bersama, dapatlah berkongsi bersama merasa dua lauk pauk berbeza.
3. Hadkan minum air manis
Untuk menjimatkan perbelanjaan, fokus minum air yang dimasak sendiri dan bawa di dalam botol air. Ianya paling murah dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar tanpa menyumbang kepada pencemaran sisa dari botol plastik. Masukkan secubit garam himalaya agar menambah mineral penting di dalam badan.
Mungkin anda tertanya-tanya. “Oh, takkanlah saya tidak boleh minum manis langsung?” Jawapannya, boleh, pada kadar yang minima. Sebagai alternatif, jika anda teringin minuman manis, beli ais dan bancuh sendiri dengan jus kordial, ianya lebih murah dan anda dapat mengawal tahap kemanisan air yang dibancuh sendiri.
Jika masih teringin atau ‘craving’ air minuman berjenama tertentu seperti kopi Zus, Tealive dan sebagainya, hadkan pembelian sebulan sekali sahaja. Jadikan pembelian tersebut sebagai ganjaran buat diri yang telah belajar atau bekerja bersungguh-sungguh.
4. Amalkan ‘intermitten fasting’ atau berpuasa untuk jimat belanja dan penjagaan kesihatan.
Mengikut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2024, Malaysia masih tersenarai sebagai negara yang mempunyai pengidap diabetes yang ramai di Asia Tenggara. Secara perbandingannya satu daripada 6 rakyat Malaysia menghidap diabetes. Sehubungan itu, adalah baik untuk bermula dari umur muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan sihat agar dapat melambatkan risiko mendapat penyakit. Bagi yang beragama Islam, amalkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis, kesannya badan sihat dan pahala pun dapat.
Semoga tip mudah ini membantu anda mengurangkan kebocoran belanja dan sekaligus menjimatkan perbelanjaan bulanan anda!
Tarikh Input: 27/06/2026 | Kemaskini: 27/06/2026 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia