Oleh : Encik Mohamad Za’im bin Rosli K.B.;P.A.

Hari ini kita pelajari akronim K.I.N.D untuk membangun potensi kepemimpinan dalam diri. Ramai juga diantara mahasiswa yang meragui dirinya layak atau tidak untuk memimpin? Kalau anda juga mempunyai persoalan yang sama pada diri anda, maka tip ini untuk anda.
KEMAHIRAN
K adalah kemahiran. Mulai hari ini tetapkan satu jenis kemahiran yang ingin anda tingkatkan pada diri anda setiap semester sepanjang pengajian anda. Kuasai kemahiran ini dengan baik sehingga anda mampu menghasilkan sesuatu atau mampu mengajar sesuatu kepada orang lain. Sebagai contoh anda memilih untuk membangunkan kemahiran melakukan pembentangan. Dapatkan Latihan daripada kaunselor, berlatih bersungguh-sungguh, dan capai tahap mahir. Dari situ anda telah pun membina branding diri sebagai rujukan rakan-rakan.
INTELEKTUAL/ILMU
I adalah intelektual. Jadikan ilmu sahabat baik anda. Perkayakan diri dengan ilmu yang bermanfaat. Samada ilmu berkaitan bidang kepakaran anda, ilmu pengetahuan am, pengetahuan semasa, mahupun ilmu teknologi. Sebagai mahasiswa, harga tertinggi bagi diri anda adalah ilmu dan pandangan bernas. Kalau tiada ilmu, malas nak membaca, anda akan sentiasa takut dengan diri sendiri.
NILAI
N adalah nilai. Bermula di kampus lagi anda perlu membangun nilai dalam diri anda. Menghantar tugasan akademik pada waktunya, menghormati masa rakan, meraikan perbezaan pendapat dan berintegriti dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Nilai-nilai ini akan membentuk konsep diri yang utuh dalam diri anda sebagai seorang pemimpin.
DIRI
D adalah diri. Cintailah diri anda sendiri. Sesungguhnya inilah anugerah paling indah dari tuhan iaitu kesejahteraan diri kita. Penjagaan aspek spiritual, emosi, fizikal, dan mental yang baik, akan melahirkan pemimpin yang sejahtera dan holistic. Sentiasa mengambil berat corak pemakanan, kualiti tidur, kualiti ibadah, penjagaan penampilan dan aktiviti bersenam akan menjadikan anda cantik luar dan cantik dalam.
Tarikh Input: 23/06/2025 | Kemaskini: 23/06/2025 | ayna

Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia