Tip Mencari Kawan Di Universiti | BAHAGIAN KAUNSELING UPM
» ARTIKEL » Tip Mencari Kawan Di Universiti

Tip Mencari Kawan Di Universiti

Oleh Pn. Kemelia Omar

Bertemu orang baru dan menjadikan mereka kawan adalah sangat sukar terutama untuk individu yang introvert. Walau bagaimanapun, dengan sedikit usaha dan kesanggupan untuk keluar dari zon selesa, anda boleh berkawan dengan mudah. Berikut dikongsikan beberapa tip yang boleh anda cuba untuk dapatkan kawan di universiti.

 

i.        Luangkan masa. 

Jika anda ingin menjalinkan persahabatan, anda perlu keluar dan berjumpa dengan orang lain. Jika anda hanya duduk sambil menopang dagu sahaja, mustahil orang akan datang kepada anda. Contohnya, jika di dewan kuliah, cuba duduk bersebelahan dengan orang lain. Anda tidak perlu duduk di meja yang dikelilingi oleh ramai orang, jika hanya dua orang sahaja pun sudah cukup. Ingat, kawan mungkin tidak datang begitu sahaja jika anda hanya asyik duduk menghadap laptop atau telefon bimbit. Jika anda mempunyai masa untuk keluar dan berjumpa orang, lakukannya! Contohnya, hadir ke program anjuran universiti atau jemputan kenduri.

 

ii.        Sertai organisasi atau kelab dan persatuan. 

Kaedah ini sesuai untuk anda yang ingin bertemu orang yang mempunyai minat yang sama. Anda tidak perlu mempunyai banyak minat yang sama untuk berkawan dengan mereka. Malah, dua orang yang mempunyai sedikit persamaan pun masih boleh berkawan baik. Walau bagaimanapun, jika anda menyukai topik tertentu, anda boleh mencari tempat di mana anda boleh bertemu orang yang mempunyai minat yang sama. Contohnya, anda boleh menyertai Kelab Rakan Siswa, Kelab Anak Negeri Selangor, Kumpulan Rakan Muda dan sebagainya. Jika anda boleh memainkan alat muzik atau menyanyi, sertai kumpulan muzik atau koir. Bagi anda yang mempunyai badan atletik yang suka mencuba perkara baharu dan mencabar, anda lebih sesuai menyertai pasukan sukan seperti bola sepak, berbasikal, memanah dan sebagainya.

 

iii.        Mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan. 

Aktiviti sukarelawan boleh menjadi cara yang baik untuk bertemu orang dari semua peringkat umur. Melalui aktiviti seperti ini, anda boleh menjalinkan hubungan dengan orang lain. Anda akan bertemu dengan orang yang juga ingin mengubah sesuatu, orang atas sebab yang sama. Contohnya, anda boleh meluangkan masa membantu di rumah jagaan, hospital dan rumah perlindungan. Anda boleh menghubungi organisasi terdekat untuk mencari sukarelawan yang berhampiran.

 

iv.       Cuba berhubung semula dengan orang yang anda kenali. 

Mungkin, anda pernah mengenali beberapa orang yang berpotensi menjadi kawan baik. Cuba mengenali rakan sekelas atau rakan di media sosial dengan lebih baik. Sebagai contoh, hubungi rakan yang pernah anda jumpa di Konvensyen Universiti Awam dan mengadakan perbincangan mengenai program kerjasama.

Tarikh Input: 19/12/2022 | Kemaskini: 20/12/2022 | anis_akmil

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KAUNSELING UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 2082
-
SXEcVAH~